Piala Malaysia

KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mara ke peringkat kalah mati Piala Malaysia 2021 apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Petaling Jaya (PJ City) FC dan Sabah FC.

Menerusi undian yang disiarkan secara langsung di Facebook Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), turut berada dalam kumpulan D adalah pasukan yang bakal meraih tempat keempat Liga Premier (tidak termasuk kelab feeder) apabila saingan divisyen kedua itu tamat minggu hadapan.

Sementara itu, Kumpulan B boleh dianggap sebagai kumpulan maut apabila membariskan juara 2001 Terengganu FC, pasukan paling cemerlang dengan 33 kejuaraan Selangor FC, juara lapan kali Perak FC dan pasukan yang bakal meraih tempat ketiga Liga Premier.

Kumpulan A juga tidak kurang hebat cabarannya apabila pasukan yang dianggap kuda hitam dalam saingan Liga Super musim ini dan juara empat kali, Penang FC diundi bersama juara tiga kali iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC, juara empat kali Sri Pahang FC dan pasukan yang bakal muncul naib juara Liga Premier.

Kumpulan C pula terdiri daripada juara lima kali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Melaka United, pasukan yang bakal menjuarai Liga Premier dan pasukan yang menamatkan saingan Liga Premier di tempat kelima.

Mengikut peraturan perlawanan, pasukan feeder di Liga Premier tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Piala Malaysia yang dijangka membuka tirai pada 23 September ini.

Menurut MFL, Piala Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun ini, akan dianjurkan mengikut format asal iaitu setiap pasukan beraksi dalam perlawanan timbal balik bagi peringkat kumpulan, suku akhir dan separuh akhir, manakala final hanya melibatkan satu perlawanan.

Piala Malaysia 2020 telah dibatalkan MFL selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan penganjurannya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengawal wabak Covid-19 tahun lalu. – MalaysiaGazette