Prof Madya Dr Sara Chinnasamy memberikan sumbangan kepada pemandu teksi yang terjejas.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Solidariti Perpaduan menyantuni 70 pemandu teksi Shah Alam, Selangor dengan menyalurkan bantuan prihatin berupa barangan keperluan harian.

Setiausaha pertubuhan tersebut, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, pengusaha-pengusaha teksi di Shah Alam telah kehilangan pendapatan sehingga 90 peratus ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Kerajaan harus memastikan nasib pengusaha-pengusaha teksi ini terpelihara kerana ramai warga emas yang menjadi pengusaha teksi termasuk golongan B40, wanita dan golongan OKU.

“Pendapatan mereka terjejas teruk sejak pandemi Covid-19 sejak Mac lalu. Ada yang susah mendapat pendapatan sehingga RM20 sehari.

“Di sebalik bantuan ini, mungkin kerajaan perlu mengkaji secara mendalam profil para pemandu teksi ini untuk dilanjutkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Sara berkata, sebelum ini pertubuhan berkenaan sudah memberikan bantuan kepada 2,500 penerima bantuan di seluruh negara dari Pulau Pinang, Perak, Lembah Klang dan Johor.

Tambah beliau, semenjak pandemik itu bermula, bantuan dihulurkan secara berperingkat kepada golongan-golongan B40, golongan OKU, ibu tunggal, pemandu-pemandu van sekolah yang terdiri daripada ibu tunggal dan terkini bantuan diberika kepada pemandu-pemandu teksi.

“Penganjuran program-program seumpama ini amat penting di Hari Malaysia kerana dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan juga berpegang pada konsep ‘Prihatin’ di mana konsep ini harus digunakan untuk memupuk Keluarga Malaysia yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kami akan meneruskan usaha murni ini bagi menyahut seruan kerajaan pembentukan Keluarga Malaysia yang mana perpaduan yang menekankan kepelbagaian itu adalah perpaduan yang utuh yang menjadi tunggak kepada negara,” katanya. – MalaysiagGazette