Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap di Majlis Penutup Program Sukarelawan Belia ASEAN (e-AYVP) Filipina 2021 hari ini melalui persidangan video.

KUALA LUMPUR – Penglibatan belia dalam program sukarelawan menjadi penggerak untuk melahirkan lebih ramai pemimpin golongan itu pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, menerusi program yang betul, generasi akan datang akan lebih bersedia berdepan pelbagai kemungkinan.

“Walaupun program ini dilakukan hanya dalam talian tetapi impaknya sangat besar.

“Dalam masa dua minggu program ini dianjurkan, saya dapati banyak perkara yang dijayakan setiap peserta dari pelbagai negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Sukarelawan Belia ASEAN (e-AYVP) Filipina 2021 melalui persidangan video hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kerjasama  antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan University Of The Philipines (UP) menyerlahkan potensi belia mendepani masa depan yang lebih mencabar.

“Saya berharap semua peserta benar-benar mempelajari beberapa pengetahuan dan kemahiran sepanjang program ini, sehingga mendapat idea untuk merangka sendiri projek dalam talian dan menerapkan idea-idea ini untuk negara asal dan komuniti anda.

“Jangan biarkan ini menjadi alasan untuk berhenti bekerja untuk kemajuan komuniti di tempat masing-masing,” katanya.

Tambahnya, dengan pembelajaran yang melangkaui dunia fizikal, digital dan biologi seharusnya penggunaan trend teknologi digunakan yang akan membentuk pendidikan pintar pada masa depan.

“Melangkah ke arah dunia lebih dinamik pada masa depan, ia sedikit sebanyak, akan membantu masyarakat mengenali siapa anda,” ujarnya.

Ahmad Faizal juga turut melahirkan penghargaan kepada sektretariat ASEAN dengan kerjasama antara Belia ASEAN dan rakan institusi yang terlibat yang menjayakan program berkenaan.

“Ia pasti melengkapkan peserta dengan pengetahuan yang diperlukan dan kemahiran abad ke-21 agar dapat menjadi pemimpin berdaya saing selain melaksanakan projek komuniti dalam talian di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau juga berharap agar semua peserta berpeluang berhubung dengan rakan seperjuangan yang mempunyai fikiran sama dapat berkongsi semangat dan memberi inspirasi agar berfikir di luar kotak kesukarelawanan tradisional dan membina kepercayaan sambil mewujudkan rasa kecintaan pada masyarakat.

e-AYVP Philippines 2021 yang diadakan selama dua minggu bermula 30 Ogos lalu berjaya mengumpulkan seramai 231 peserta dari seluruh negara ASEAN termasuk tiga negara lain iaitu China, Jepun dan Republik Korea.

Program anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah arahan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dengan kerjasama University of the Philippines (UP).

e-AYVP tahun ini memfokuskan kepada bidang tematik pembangunan pendidikan, dengan tema ‘Memperkukuhkan Sistem Penyampaian Pendidikan ASEAN dalam Masa yang Mencabar’.- MalaysiaGazette