Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba ke mahkamah bagi perbicaraan berhubung kes pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan 21 Oktober ini bagi mendengar penangguhan penghakiman ringkas permohonan tuntutan saman cukai terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain Najib, turut menunggu penghakiman ringkas kes tuntutan cukai ialah anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dan Mohd Nazifuddin sedang berusaha membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tuntutan saman cukai terhadap mereka.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Rayuan di sini menolak permohonan Najib dan Mohd Nazifuddin untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan beliau membuat pembayaran tertunggak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman ringkas telah bertindak menolak permohonan mereka yang masing-masing bernilai RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Untuk makluman undang-undang sivil mahkamah dibenarkan membuat penghakiman ringkasan bagi memutuskan hal perundangan tanpa menjalani persidangan penuh.

Kini LHDN menunggu proses kemuflisan ke atas Najib dan Nazifuddin dalam permohonan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur namun bergantung kepada ringkasan keputusan berkenaan untuk proses tersebut.

Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.

Pada 4 Februari lalu, kerajaan melalui LHDN memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Jun Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan perintah bahawa beliau perlu membayar cukai tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada LHDN. -MalaysiaGazette