Seorang pesakit Covid-19 berzikir menggunakan tasbih di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kes Covid-19 yang sembuh direkodkan hari ini adalah sebanyak 17,205 dan sekali lagi mengatasi kes baharu harian.

Sehingga kini jumlah kumulatif yang telah sembuh daripada pandemik itu adalah 1,840,453.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,165 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 689 memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya lagi, kapasiti katil pesakit Covid-19 terkini adalah 68 peratus manakala kapasiti katil pesakit di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 76 peratus.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat satu kes positif yang dikesan di Jeti Kuala Perlis sebelum memasuki Pulau Langkawi.

Kes itu salah satu daripada 2,507 individu telah disaring melalui Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi hari ini.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 2,326 individu telah menjalani saringan di lapangan terbang manakala 181 lagi
individu telah disaring di Jeti Kuala Perlis.

“Bagi jenis ujian yang dijalankan pula, seramai 2,481 individu telah menjalani ujian Covid-19 iaitu 2,468 RTK-Ag dan 13 RTPCR,” katanya.

Dalam masa yang sama, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 16 kluster baharu telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ia melibatkan 10 kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan dua lagi membabitkan kumpulan berisiko tinggi,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Covid-19: Kes positif harian turun 15,549