Presiden Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa), Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah memberikan sumbangan bakul kepada Keluarga Malaysia Veteran ATM di Pejabat Veteran ATM Cawangan Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 18 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein disaran menumpukan perhatian  membantu  pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa), Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, ia kerana jumlah para pesara dan veteran ATM  meningkat setiap tahun.

Tambah beliau, golongan berkenaan juga antara yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19 di negara ini.

“Kumpulan ini jangan disisihkan. Saya menyeru komuniti Setiawangsa khususnya membantu golongan ini banyak jasa mereka.

“Saya harap kerajaan khususnya Datuk Seri Hishammuddin sebagai Menteri Kanan Pertahanan dapat memberi fokus lebih kepada para pesara ATM kerana mereka banyak jasa dari dulu hingga kini walaupun mereka tidak lagi berkhidmat sebenarnya ada lagi perana mereka dalam komuniti.

“Saya nampak veteran ada peranan mereka, jangan kita sisihkan sepatut golongan ini diberi pengiktirafan,” katanya ketika hadir pada Program Penyerahan Bakul Makanan kepada veteran ATM Cawangan Setiawangsa hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Wilayah Persekutuan, Brig Jen (B) Datuk Shamsudin.

Mengulas lanjut, Mohd Irwan berkata, MySetiawangsa akan mengadakan perbincangan dengan persatuan veteran ATM di kawasan itu untuk mendapatkan maklumat berkenaan bantuan yang diperlukan.

Beliau memberi jaminan akan memberikan bantuan kepada golongan itu khususnya yang memerlukan secara konsisten.

“Hari ini MySetiawangsa bersama Veteran ATM Setiawasa menghulurkan bantuan sebagai permulaan baru-baru ini kita dimaklumkan para pesara ATM angkanya semakin meningkat maka kita perlu terus memberi sokongan secara moral atau pelbagai bentuk kerana golongan ini banyak jasanya kepada negara.

“Apabila kita tidur di rumah, mereka menjaga kita tanpa kita sedari.

“Lebih bermakna kalau kita berbincang dengan pihak jawatankuasa supaya sumbangan itu terus sampai ke golongan sasar.

“Kalau perlu kerusi roda kita bantu dan rawatan susulan, perkhidmatan untuk hantar ke hospital, insyallah kita bantu termasuk isu kewangan,” jelasnya yang juga merupakan  Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa.- MalaysiaGazette