Keadaan sekitar lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Height, Selangor. Foto SYAFIQ MABAK, 18 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja awal pembersihan runtuhan tanah yang berlaku di Kemensah Heights di Ampang semalam telah selesai dilakukan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Gombak  petang tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kerja-kerja terbabit termasuk memastikan aliran sungai kembali lancar selepas mengakibatkan mendapan di kawasan terbabit.

Aliran sungai yang sebelum ini telah terhalang laluannya akibat tanah dalam kejadian semalam kini kembali lancar biar pun hujan lebat turun petang tadi.

“JPS yang turun berjaya membuat kerja-kerja pembersihan sungai dengan pantas mengelak sebarang insiden buruk seperti banjir di kawasan runtuhan itu.

“Dalam masa sama pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut memulakan kerja-kerja pemasangan kain kanvas sebagai sebahagian usaha menghalang air hujan terus mengenai bahagian tanah runtuhan ini,” katanya kepada pemberita selepas turun meninjau lokasi runtuhan di sini petang tadi.

Pada tengahari tadi, Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meninjau kawasan runtuhan telah meminta RM1 juta daripada Kementerian Kewangan bagi tujuan pembinaan cerucuk besi untuk menahan pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan itu.

Semalam, sebanyak tiga buah rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Abd Latiff turut menekankan peranan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan jabatan-jabatan Persekutuan, geosains, geologi yang cuba mencari punca kejadian tanah runtuh itu.

“Saya sendiri telah melihat kesan pergerakan tanah masih berlaku di kawasan runtuhan ini dan kita tidak boleh pandang ringan situasi ini dan jika hujan berlarutan ia mungkin akan memberi kesan teruk.

“Kalau boleh bencana ini kita kena kaji secara saintifik datanya cara mendalam dan apa juga yang telah berlaku sudah diambil tindakan cepat antaranya kerja pemberihan sungai oleh JPS.

“Kita pentingkan soal nyawa penduduk sebab itulah memberi amaran kepada penduduk supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya rasa lebih baik kita menjangkakan sedia hadapi kemungkinan lebih buruk daripada memberi harapan palsu kepada penduduk,” ujarnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ini kali pertama kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights – Shaari