Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang lompat parti disifatkan sebagai tidak bermaruah dan dayus.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN merasa dikhianati akibat perbuatan ahli-ahli Parlimen terbabit yang jelas telah mencabul amanah diberikan kepada mereka.

Beliau mendakwa, mereka yang lompat parti itu sebenarnya mengejar kuasa, wang ringgit dan ketakutan dengan pertuduhan yang boleh mengheret menjadi kluster mahkamah.

“Sejarah hitam PRU-14 perlu kita jadikan iktibar…bangkit semula adalah matlamat kita…sebarang masalah dalaman parti, baik di pihak UMNO, parti komponen dan parti ini, hendaklah diselesaikan menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Memang BN rasa dikhianati apabila ramai Ahli Parlimennya yang melompat kerana kuasa dan wang ringgit selepas kita tewas, tetapi kehadiran serta sokongan padu Makkal Sakti bersama BN mampu melonjakkan semua kita semua.

“Saya sangat gembira dengan tanggungjawab dipikul oleh Makal Sakti di mana rakyat mula rasa yakin dan mengenali parti dan selesa,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Makkal Sakti di Menara Dato Onn, secara maya hari ini.

Ahmad Zahid berkata, biar pun ada cadangan untuk menggubal akta lompat parti seperti yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, semua pihak tidak boleh alpa sama ada akta ia akan diluluskan atau sebaliknya,.

Katanya, semua parti komponen dalam BN perlu bersiap siaga daripada sekarang dengan menunjukkan kesetiaan dan kepimpinan terhadap parti selain memilih calon yang sesuai untuk dipilih bertanding pada PRU15 akan datang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menolak tuduhan yang mengatakan BN membiayai Parti Makkal Sakti.

Tegasnya, Makkal Sakti bergerak atas dana yang diperoleh daripada ahlinya sendiri dan tuduhan-tuduhan itu disifatkan sebagai liar.

“Sebenarnya tidak. Makkal Sakti dibiayai oleh ahli mereka sendiri, dan tidak sesen pun menerimanya daripada BN. Ini satu lagi hakikat bahawa parti ini ‘is self-sufficient’. Belum pernah pun pemimpin mereka memohon bantuan kewangan daripada Barisan Nasional,” ujarnya. – MalaysiaGazette