Wanita Britain yang dituduh bunuh suami di Langkawi tiga tahun pulang ke negara asal.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita Britain yang pernah menggemparkan negara tiga tahun dahulu kerana membunuh suaminya di rumah mereka di Kampung Gelam, Langkawi telah pulang ke negara asal hari ini.

Wanita tersebut, Samantha Jones terlepas hukuman mati selepas dibicarakan di sini sejak beberapa tahun lepas kerana membunuh John William Jones, 63, seorang pesara bomba di United Kingdom.

Hakim dalam perbicaraan itu mendapati dia tidak bersalah atas tuduhan membunuh, sebaliknya telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 42 bulan dan denda RM10,000 ke atas kesalahan menyebabkan kematian suaminya tanpa niat membunuh.

Samantha kemudian dibebaskan pada Mac lalu selepas 20 bulan menjalani hukuman penjara di Penjara Pokok Sena, Kedah kerana berkelakuan baik.

Jurucakap pejabat luar negara UK berkata, pihaknya menyalurkan bantuan untuk memudahkan Samantha pulang ke UK sebaik kerajaan Malaysia meluluskan penghantaran pulang wanita itu.

Ketika perbicaraan, Samantha memberitahu media, beliau masih menyintai suaminya dan ‘terpaksa’ membunuh kerana dia berkelakuan ganas setelah mabuk pada malam kejadian.

Mahkamah juga diberitahu bagaimana suaminya telah mendera wanita itu selama bertahun-tahun.

Pada malam kejadian John berkali-kali menendang dan menumbuk di bahagian perut Samantha sebelum dia menikam suaminya untuk mempertahankan diri.

Sebelum ini, peguam yang mewakili Samantha, Sangeet Kaur Deo berkata, anak guamnya menjadi mangsa penderaan fizikal dan bimbang dibunuh suaminya satu hari nanti.

Dalam pada itu, media melaporkan ketika berlepas Samantha masih lagi memakai cincin perkahwinannya. – MalaysiaGazette