Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 4,422 orang murid sekolah telah kehilangan ibu atau bapa atau penjaga akibat Covid-19 serta menjadi anak yatim sejak pandemik itu melanda negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sebanyak 154 orang daripada mereka kehilangan kedua-dua ibu dan bapa.

Beliau memberitahu, jumlah itu berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) amat prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak yang telah kehilangan ibu atau bapa atau penjaga atau kedua-duanya disebabkan pandemik Covid-19 dan memerlukan pembelaan sewajarnya.

“Kementerian telah mengambil inisiatif dan langkah-langkah bagi memberi bantuan serta sokongan kepada kanak-kanak seperti pemberian bantuan kewangan bagi menampung keperluan hidup kanak-kanak dan anggota keluarga kanak-kanak.

“Jenis bantuan yang diberikan adalah Tabung Bantuan Segera dan Bantuan Kanak-Kanak. Kerajaan semasa pengumuman Belanjawan 2021 pada 6 November 2020 telah bersetuju menaikkan kadar bantuan bulanan di bawah skim Bantuan Kanak-kanak dan Bantuan Pesakit Terlantar kendalian Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

“Bagi kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun, kanak-kanak layak menerima RM200 seorang manakala bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas akan memperolehi bantuan sebanyak RM150 bagi seorang kanak-kanak.

“Untuk pertama kalinya juga kadar bantuan maksimum kanak-kanak dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab rangkuman soalan bertulis mengenai jumlah  anak yatim dan yatim piatu yang kematian ibu atau bapa atau kedua-duanya akibat Covid-19 serta pelan perlindungan khusus oleh kementerian di Dewan Rakyat di hari ini.

Rina menambah, perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa atau penjaga turut diberikan termasuk kepada anggota keluarga kanak-kanak sekiranya mereka memerlukan perkhidmatan tersebut.

Jelas beliau, antara perkhidmatan kaunseling yang disediakan adalah Intervensi Psikologi dan Kaunseling seperti Kaunseling Individu, Kaunseling Kelompok, Terapi Psikologi;

Selain itu kata beliau adalah Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi Intervensi termasuk Pengurusan Tekanan dan Trauma, Debriefing Psychology, Grief Psychology dan Psychology First Aid (PFA) dan Psikopendidikan, Program Psiko-Spiritual serta Art Therapy.

“Kanak-kanak boleh ditempatkan di institusi JKM sekiranya kanak-kanak tidak mempunyai waris atau saudara mara yang boleh menjaga mereka berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kanak-kanak akan diambil perintah sementara melalui mahkamah dan diletakkan sama ada kepada keluarga ganti/Orang Yang Layak Dan Sesuai (OYLS) atau institusi tempat selamat,” katanya.

Rina memberitahu, sebanyak tujuh Institusi JKM telah ditetapkan mengikut zon untuk jagaan dan perlindungan kanakkanak yang kehilangan ibubapa akibat Covid-19.

Bagi Zon Utara jelas beliau, ia melibatkan Rumah Kanak-kanak (RKK) Pokok Sena, Kedah dan Taman SeriPuteri (TSP) Batu Gajah, Perak. Institusi Taman Seri Puteri Cheras, Selangor dan Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka diletakkan sebagai Zon Tengah dan Zon Timur adalah RKK Mini Kelantan.

“Manakala bagi institusi di Sabah ialah Taman Seri Puteri Kota Kinabalu dan Sarawak, Taman Seri Puteri, Kuching.

“Bantuan lain adalah menjalankan kerjasama dengan ahli komuniti setempat seperti ketua kampung, xukarelawan dan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) serta Komuniti Rukun Tetangga untuk memberi bantuan dan sokongan secara berterusan kepada kanak-kanak dan ahli keluarga kanak-kanak agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Sebagai makluman, menurutnya, kementerian telah melaksanakan pelantikan kepada 140 buah Pasukan Perlindungan Kanak-kanak bagi sesi 2021 hingga 2023. – MalaysiaGazette