Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (dua kiri) bertanyakan sesuatu dengan sebahagian Persatuan Penghantar P-Hailing pada Majlis Pelancaran Kempen Tuntutan Hak Penghantar Malaysia di Dataran Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menggesa Pergerakan Pemuda UMNO campur tangan bagi menangani isu kebajikan dan keselamatan penghantar makanan yang masih terabai.

Pengerusinya, Zulhelmi Mansor berkata, pihaknya meletakkan keyakinan tinggi terhadap pemimpin sayap UMNO itu yang lantang memperjuangkan hak rakyat yang terkesan semasa pandemik Covid-19.

“Ini bukanlah permulaan kepada pergerakan ini, kita telah memulakan tindakan ini demi perlindungan, kebajikan dan keselamatan penghantar makanan sejak tahun lepas lagi.

“Saya kira Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki cukup lantang bersuara (perjuangkan hak).

“Kita akan bersemuka dan hadir persidangan meja bulat bersama beliau sendiri untuk kita sampaikan isu-isu dan permasalahan yang berlaku dalam sektor ini,” katanya ketika berucap semasa pertemuan dengan hampir 100 penghantar makanan di Dataran Menara Dato’ Onn hari ini.

Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia , Zulhelmi Mansor pada Majlis Pelancaran Kempen Tuntutan Hak Penghantar Malaysia di Dataran Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2021.

Hadir sama Asyraf Wajdi; Penasihat Penghantar Malaysia, A’zlan Abu Bakar dan Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor.

Terdahulu Zulhelmi menyerahkan Memorandum Kempen Tuntutan Hak Penghantar Malaysia kepada Asyraf Wajdi.

Dalam pada itu, Zulhelmi berkata, kempen yang dilancarkan hari ini diharapkan memberi keadilan kepada penghantar makanan yang didakwa menjadi mangsa penindasan syarikat perkhidmatan pesanan makanan.

“Apabila PKP, terlalu ramai ingin menjadi rider atas sebab-sebab tertentu, kena buang kerja, ingin mencari pendapatan lebih, ramai yang melihat sektor GiG Ekonomi ini khususnya P-Hailing dan E-Hailing sebagai satu peluang pekerjaan.

“Apabila sektor ini telah pun berkembang, berlaku lambakan penghantar makanan dan banyak lagi kemelut iaitu penindasan yang berlaku dalam sektor ini.

“Kempen tuntutan hak Penghantar Malaysia tak kira warna baju kerana hasratnya satu supaya keadilan dan juga perlindungan kepada kita semua ini akan kita peroleh satu hari nanti.

“Kita akan serahkan memorandum ini supaya ada jalan keluar kepada semua penghantar yang mengharapkan satu mekanisme dan solusi terbaik kepada kita semua,” katanya.

Antara wakil penghantar makanan yang hadir dalam serahan memorandum itu ialah Persatuan Kebajikan Kumpulan Penghantar P-Hailing Kuala Lumpur Selangor dan Putrajaya (PERKEB-P); Persatuan Kebajikan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPBP) dan Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM).

Turut sama Penghantar dari Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah serta Grab Drivers Malaysia Association (GDMA). – MalaysiaGazette