bekas Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 November depan bagi menentukan keputusan  sama ada bekas Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi perlu membela diri terhadap 37 pertuduhan rasuah atau dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas  mendengar hujahan barisan pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding rayuan kes yang berlangsung selama dua hari.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 21 April 2019 yang melepas dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau itu daripada 37 pertuduhan rasuah.

Selain kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) berjumlah lebih RM30 juta lima tahun lalu.

Selain itu, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan berkenaan dalam prosiding dua tahun lalu.

Prosiding rayuan hari ini dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib.

Turut membantu adalah, Mahadi Abdul Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zender Lim Wai Keong.

Abdul Latif, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim, dan Amir Shariffuddin, diwakili peguam, Datuk Hasnal Redzua Merican, Datuk Sallehudin Saidin.

Terdahulu, Wan Shaharuddin dalam hujahan akhir kes itu memberitahu, Hakim bicara terkhilaf dan silap dalam pemahaman undang-undang ketika membuat keputusan melepas dan membebaskan Abd Latif yang juga responden kedua dan dua lagi responden, dua tahun lagi.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing menghadapi empat pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Sebelum itu, Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette