KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur Convention Centre (Pusat Konvensyen) menjadi tempat acara pertama di Malaysia menerima sijil Acara Perniagaan Selamat (SafeBE), iaitu pentauliahan kebersihan dan keselamatan yang diberikan oleh Bureau Veritas.

Program pensijilan SafeBE, yang dimulakan dan disokong oleh Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM), mendapat kerjasama daripada Persatuan Penganjur & Pembekal Konvensyen & Pameran Malaysia (MACEOS) dan Biro Konvensyen & Pameran (MyCEB) untuk menggalakkan proses pensijilan bagi tempat-tempat acara yang menjamin keselamatan dan perlindungan para penganjur acara dan juga peserta dari mula hingga akhir.

Pensijilan ini mengiktiraf pelaksanaan Prosedur Operasi Piawai Acara Perniagaan (BE SOP) yang disokong kerajaan dan kecemerlangan operasi pasukan dari segi piawaian pengurusan acara dan perkhidmatan makanan dan hospitaliti dalam norma baharu.

Pengurus Besar Pusat Konvensyen, Alan Pryor berkata, pensijilan SafeBE mencerminkan kedudukan pusat konvensyen sebagai tempat penganjuran acara terulung di Malaysia, akreditasi ini adalah satu lagi langkah untuk membina keyakinan dan bukti bahawa SOP yang ketat dan teliti bertujuan menyediakan persekitaran yang selamat, terlindung, terkawal dan dikawal selia dengan baik untuk menganjurkan acara perniagaan.

Untuk mendapatkan akreditasi ini, pusat konvensyen telah dinilai berasaskan proses, kemudahan dan kakitangannya.

Penilaian ini dilaksanakan berlandaskan piawaian kualiti, kelengkapan serta pengetahuan, latihan dan kepakaran pasukan, untuk memastikan pematuhan tempat acara kepada kriteria ketat penilai dan keupayaan beroperasi dengan selamat dalam norma baharu. – MalaysiaGazette