Suspek pemandu Mitsubishi positif ganja yang melawan arus akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dalam siasatan berhubung kemalangan menyebabkan kematian dua individu di Lebuhraya Persekutuan ketika dibawa oleh anggota polis di Mahkamah Majisret, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang memandu kenderaan secara melawan arus sehingga menyebabkan dua remaja terbunuh di Kilometer 8.6 Lebuh Raya Persekutuan baru-baru ini didakwa membunuh di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tiada pengakuan direkodkan selepas dua pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh, K. Devaaswin, 24.

Eksekutif pemasaran itu didakwa membunuh Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19 dan Nur Afiqah Abdul Karm, 18 di KM8.6 lebuh raya berkenaan pada kira-kira 1.50 pagi, 12 September 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili Peguam Pushpa Ratnam dan R. Thanuja.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani memandangkan mahkamah itu tiada bidang kuasa untuk membicarakan kesalahan itu yang membawa hukuman mati.

Kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Kes disebut semula 21 Oktober ini untuk pihak pendakwa raya mendapatkan laporan kimia.

Nor Faezah Abdul Sani juga mahu mendapatkan laporan bedah siasat kedua-dua mangsa, laporan Puspakom dan beberapa dokumen lain, sebelum membuat keputusan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, tertuduh yang dibawa anggota polis trafik, tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 8.30 pagi dengan kedua tangannya bergari.

Peguam bela tertuduh, Puspharatnam R. Tanuja kemudian memberitahu mahkamah, anak guamnya memerlukan rawatan sepanjang menunggu tarikh 21 Oktober ini berikutan mengalami kecederaan di bahagian belakang akibat kemalangan itu.

Majistret kemudian meminta peguam bela berbincang dengan polis untuk mendapatkan kebenaran itu.

Dalam kejadian awal pagi 12 September lalu, sepasang remaja maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pikap Mitsubishi Triton yang dipandu tertuduh secara melawan arus di Lebuh Raya Persekutuan.

Mangsa, Nur Afiqah yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback dan penumpang, Muhammad Hafiz Syami mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan.

Pasukan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan pada jam 1.51 pagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit pada bahagian depan kereta dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis ganja dan saksi yang merakam video kejadian turut tampil bagi membantu siasatan.

Kes itu pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek ditahan reman sehingga 17 September bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, kes terbabit diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan menyebabkan dia disambung tahanan reman selama tiga hari lagi berakhir semalam untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette