MELAKA – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) adalah tonggak kekuatan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dalam menyelesaikan segala masalah penduduk negeri berkenaan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, program yang dijalankan sejak dua tahun lalu itu merupakan pendekatan terbaik bagi kerajaan negeri menyelami denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.
“Wakil rakyat bersama-sama pembuat dasar bergabung turun ke lapangan bertemu rakyat mendengar segala permasalahan.
“Jika masalah itu boleh diselesaikan hari ini, kita akan selesaikan dan tidak perlu tunggu hingga esok. Jika aduan itu memerlukan tempoh untuk diselesaikan, satu penjelasan yang tuntas akan diberikan kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program WRUR peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, Masjid Tanah di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Menurut Ab Rauf, menerusi program yang tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negeri itu, Melaka memberi tumpuan khusus kepada sekecil-kecil masalah rakyat sehingga kepada pembangunan berskala besar.
Jelasnya, kerajaan sentiasa menyedari masih banyak keperluan rakyat perlu diselesaikan sama ada dalam jangka masa pendek, sederhana atau panjang
“Sebanyak mana pun pembangunan yang kita laksanakan, kita sedar masih banyak longkang perlu diselenggara, masih banyak jalan yang memerlukan lampu dan dibaiki, rumah yang perlu dibaik pulih dan masih banyak keluarga yang perlu dibantu.
“Sebab itulah pentadbiran ini tidak menunggu rakyat datang kepada kerajaan sebaliknya kerajaan turun mendekati rakyat melalui WRUR ini,” jelasnya.

Tambahnya, WRUR tidak terhenti begitu sahaja sebaliknya ia disusuli dengan program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hari Exco Bertemu Rakyat (Hebat).
Menerusi dua program berkenaan, ujarnya, segala aduan dan masalah rakyat yang dikemukakan pada WRUR akan dilakukan susulan bagi memastikan segala permasalahan
dapat diselesaikan secepat mungkin. – MalaysiaGazzette
















