Zuraida Kamaruddin Parti Bangsa Malaysia new party
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Satu pendekatan radikal perlu dilakukan bagi melonjakkan lagi pertumbuhan industri buluh di Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, transformasi industri buluh perlu dilakukan dengan mewujudkan suasana kondusif agar peralihan struktur industri daripada kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk bernilai tinggi dapat diwujudkan.

“Saya ingin menggesa agar semua pihak khususnya yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri ini untuk mengambil langkah proaktif memastikan pembaharuan berlaku dalam rantaian pengeluaran daripada industri huluan sehinggalah ke peringkat hiliran, baik dari segi penghasilan bahan mentah sehinggalah kepada penghasilan produk akhir (finished products).

“Dalam konteks ini, penghasilan produk buluh yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi perlu diutamakan melalui pembangunan inovasi dan teknologi yang terkini serta pemerkasaan modal insan.

“Aspek ini sentiasa dipupuk di kalangan semua pihak seperti usahawan, profesional, penyelidik, perekabentuk, penggubal polisi serta pihak-pihak lain yang berkaitan,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Buluh Sedunia Malaysia 2021 secara maya hari ini.

Hadir sama menyaksikan perasmian itu kedua-dua timbalannya iaitu Datuk Willie Anak Mongin dan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.

Zuraida yakin melalui program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimakan penggunaan sumber bahan mentah sebagai sumber alternatif dalam industri perkayuan.

Dalam menghadapi kekurangan sumber bahan mentah, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan pelaksanaan program pembangunan ladang buluh.

Katanya, buluh memiliki tempoh matang yang singkat
iaitu sekitar tiga hingga lima tahun sahaja berbanding dengan pokok kayu.

Tambahnya, buluh sesuai ditanam secara ladang dan penghasilannya secara mampan boleh dihasilkan sekiranya diurus dengan kaedah silvikultur yang terancang.

Katanya lagi, kementeriannya melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menyediakan kemudahan pinjaman mudah bagi penanaman buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) untuk memastikan bekalan sumber bahan itu berterusan.

“Justeru itu, saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pemain industri mesti meningkatkan usaha untuk memperluaskan eksport buluh.

“Saya sering tekankan kepada pegawai-pegawai kanan MTIC dan agensi bahawa kita tidak mampu berlawan dari segi keluasan tanah dengan negara-negara yang lebih besar daripada kita.

“Tetapi kita wajib mencari pasaran dan produk khusus yang menjadi keistimewaan serta nilai tambah yang boleh menarik minat negara luar untuk mengimport komoditi daripada Malaysia,” katanya.¬†– MalaysiaGazette