Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Pitchay Khan menunjukkan barang rampasan yang berjaya dilakukan polis Johor di IPK Johor Bahru, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 18,837 tangkapan membabitkan jenayah berkaitan dadah dicatatkan direkodkan paling tinggi oleh polis Johor pada tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, 8,390 kes adalah kesalahan memiliki dan membekal dadah.

Tangkapan yang lakukan itu juga turut melibatkan 15 sindiket yang berjaya ditumpas pada tahun lalu.

“Tahun lalu sahaja sebanyak  seramai 18,837 tangkapan yang mana jumlah tertinggi antara kontinjen. Daripada jumlah itu, bagi kesalahan memiliki dan membekal adalah sebanyak 8,390.

“Manakala setakat tahun ini sahaja adalah 9,506 individu dan daripada jumlah itu 5,016 adalah bagi kesalahan memiliki dan membekal dadah.

“Jadi, kita lihat daripada peratusan kes yang dituduh juga telah meningkat. Pada tahun ini setakat September, sebanyak 70 peratus kes sudah dituduh di mahkamah membabitkan 16 buah sindiket,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Ayob Khan berkata, peratus kes yang dituduh itu mencatatkan peningkatan berbanding 51 peratus pada tahun lalu.

“Kes dadah ini melibatkan tempoh masa yang panjang, bukan tangkap hari ini dan esok sudah boleh dituduh. Untuk menyelesaikan kes ini, mungkin makan masa bertahun-tahun,” katanya.

Menurutnya, sejak Januari lalu, sebanyak 10.91 tan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM352 juta telah dirampas.

Bagi memastikan kadar jenayah melibatkan dadah dapat diturunkan, polis Johor akan melupuskan pelbagai jenis dadah melibatkan1,765 kilogram (kg) dan 3,717 liter.

Keseluruhan nilai itu dianggarkan bernilai RM28.91 juta.

Ayob Khan berkata, kesemua dadah yang dilupuskan membabitkan barang rampasan bagi 17,535 kes yang direkodkan antara 2000 sehingga tahun lalu.

Antara dadah yang dilupuskan itu antara dadah jenis heroin sebanyak 191.3kg, kanabis (84.7kg), ketamin (24.5kg), methamphetamine (92.3kg).

Turut dilupuskan ialah methylenedioxy methamphetamine (48.3kg), pelbagai jenis dadah lain (1.32 tan) serta 3,717 liter.

“Pada tahun lalu, JSJN Johor telah melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 877.4kg dan 251.63 liter dianggarkan bernilai RM14.6 juta melibatkan 3,844 kes yang selesai.

“Pada hari ini, JSJN Johor sekali lagi akan melupuskan pelbagai jenis dadah sebanyak 1.765kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta,” katanya.

Katanya juga, semua dadah dirampas akan dimusnahkan mengikut prosedur pelupusan barang kes yang ditetapkan.

Kesemua barang kes  akan dihantar ke Pusat Kualiti Alam di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan untuk dilupuskan menggunakan kaedah pelupusan secara insinerator (bakar).

Dalam sidang media,beliau turut menyatakan sejak 1 Januari hingga 13 September lalu, JSJN Johor sudah menahan 9,313 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama sudah membuat rampasan dadah sebanyak 10.91 tan.

“Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM352.44 juta dan turut disita adalah harta bernilai RM27.86 juta,” katanya.-MalaysiaGazette