Kes positif harian baharu Covid-19 menurun lagi dengan hari ini sebanyak 2,690 kes dilaporkan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15,759 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan sehingga pukul 12 tengahari ini berbanding 14,345 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan di negara ini sebanyak 2,127,934 kes.

Sarawak kekal menjadi negeri yang menyumbang bilangan tertinggi iaitu 3,732 kes.

Ia diikuti Johor dengan 1,959 kes, Selangor (1,934), Pulau Pinang (1,417), Kelantan (1,338), Sabah (1,291) dan Perak (1,184).

Manakala, negeri-negeri yang mencatat bilangan kes di bawah 1,000 adalah Kedah dengan 786 kes, Pahang (707), Terengganu (592), Kuala Lumpur (359), Melaka (264), Putrajaya (34), Perlis (23) dan Labuan (7) kes.

Dalam pertkembangan berkaitan, data infografik yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan penggunaan kemudahan katil di hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan mencatatkan perkembangan positif apabila berada pada kadar bawah 80 peratus tahap penggunaannya.

Kadar penggunaan wad ICU kini berada di tahap 75.2 peratus manakala katil di hospital ialah 70.4 peratus.

Peratusan itu dilihat semakin menurun iaitu sekitar 50.3 peratus bagi kadar penggunaan alat bantuan pernafasan di negara ini serta di pusat kuarantin iaitu pada tahap 58.3 peratus.

Bagaimanapun, mengikut pecahan bagi setiap negeri, lima negeri mencatatkan penggunaan wad ICU melebihi 80 peratus iaitu Kedah sebanyak 97.5 peratus disusuli Johor (93 peratus), Pulau Pinang (92.4 peratus), Perak (83.6 peratus) dan Terengganu (82.1 peratus).

Bagi penggunaan katil di hospital, terdapat lima negeri yang melaporkan peratusan melebihi 80 peratus kadar penggunaannya iaitu 89.9 peratus dicatatkan di Johor, diikuti Perlis (89.1 peratus), Pulau Pinang (83.6 peratus), Kelantan (82.7 peratus) serta Terengganu (81.6 peratus).

Penggunaan pusat kuarantin pula menyaksikan Johor menjadi negeri tertinggi iaitu 85.1 peratus kadar penggunaannya disusuli Pahang (79 peratus) dan Kelantan (69.6 peratus).

Perak pula menjadi negeri tertinggi kadar penggunaan alat bantuan pernafasan iaitu 78.5 peratus serta Kedah (77.6 peratus), Pulau Pinang (75.2 peratus) dan Kelantan (70.5 peratus). – MalaysiaGazette