Exco Pengguna dan Industri Halal Selangor, Zawawi Mughni bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Muhamad Zikril Azan membuat pemantauan harga ayam ketika di Pasar Seksyen 6, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Secara keseluruhan, kedudukan harga ayam di pasar-pasar awam utama dan premis runcit di Selangor dijual pada harga berpatutan kerana mendapat kerjasama dengan para peniaga.

Para peniaga didapati sedia menurunkan harga jualan pada harga RM9.50 sekilogram, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Zawawi Mughni.

“Kedudukan harga ayam di pasaran Selangor kini dalam situasi terkawal dan stabil. Pengguna digalakkan untuk terus membuat pembelian secara bijak dengan sentiasa membuat semakan dan perbandingan harga,” ujarnya.

Terdahulu Zawawi mengadakan lawatan selama setengah jam meninjau harga ayam dan bertanya masalah yang di hadapi para peniaga di Pasar Seksyen 6 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan.

Sebanyak 339 premis terdiri daripada pembekal dan peruncit di sekitar Selangor diperiksa KPDNHEP susulan kenaikan mendadak harga ayam segar di pasaran.

Pemeriksaaan diadakan sejak 13 sehingga 18 September lalu, katanya.

Menurut Zawawi, daripada jumlah tersebut sebanyak 247 premis sedia patuh untuk menjual pada harga lebih rendah dan disarankan iaitu RM9.50 manakala 86  lagi bersetuju membuat perubahan pada jadual harga.

Sebanyak enam premis lagi bersetuju secara bersyarat untuk menurunkan harga iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah.

“Pemeriksaan harga ayam yang dijalankan sejak 13 September lalu di pasar-pasar utama dan premis runcit di seluruh negeri ini menunjukkan penurunan dan kestabilan harga runcit iaitu harga purata jualan di antara RM8.50 sehingga RM9.50.

“Ini merupakan hasil daripada semakan semula dan perubahan harga yang dibuat oleh pihak peniaga semasa pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan oleh penguat kuasa KPDNHEP Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata, pendekatan yang diambil KPDNHEP Selangor menerusi sesi libat urus bersama peniaga di setiap peringkat rantaian bekalan ayam telah memberikan hasil positif apabila mereka bersetuju memberikan kerjasama untuk menurunkan harga masing-masing dan mengekalkan keuntungan yang munasabah.

“Contohnya terdapat premis runcit di sekitar Sepang harga jual ialah RM8.20 hingga RM9.00, premis runcit di sekitar Kuala Kubu Bharu pula harga jualan paling rendah ialah RM8.90 dan premis runcit di sekitar Petaling Jaya didapati harga jual ialah RM8.90.

“Situasi ini menunjukkan harga runcit ayam dijual di pasar dan premis runcit di sekitar Selangor boleh didapati pada harga maksimum RM9.50 sahaja mengikut lokaliti.

“Pasar Selayang Baru di Gombak sebelum ini dilaporkan menjual dengan harga RM10 telah akur dan menurunkan harga kepada RM9.50 sementara Pasar Awam Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu sebelum ini harganya RM9.80 dan kini diturunkan kepada RM9.50,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Peniaga kena sindir harga ayam melambung tinggi