Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Ekonomi luar bandar di negara ini memerlukan suntikan penggalak dengan kadar segera untuk memulihkan pendapatan rakyat secara holistik.

Pengerusi Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata,  pakej rangsangan sebelum ini lebih tertumpu kepada keperluan masyarakat bandar dan kekurangan inisiatif untuk ekonomi luar bandar menyebabkan segmen itu lebih teruk terjejas akibat wabak Covid-19.

“Menurut Jabatan Perangkaan, gaji dan upah penengah di luar bandar telah jatuh sebanyak 14.1 peratus tahun 2020 berbanding 11.6 peratus untuk pekerja di kawasan bandar, sekali gus jatuh di bawah paras yang dilihat pada tahun 2016.

“Selain itu, negeri yang mempunyai saiz kawasan luar bandar yang signifikan telah menyaksikan kemerosotan tahap kemiskinan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau memberi contoh, Kelantan yang mana hampir separuh isi rumahnya tinggal di kawasan luar bandar mencatatkan peningkatan kemiskinan mutlak yang ketara kepada 21.2 peratus pada 2020 daripada 12.4 peratus tahun 2019.

Terengganu juga, katanya, menyaksikan peningkatan kemiskinan mutlak kepada 12 peratus berbanding 6.1 peratus tahun 2019.

Justeru, Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Amanah mencadangkan tiga perkara berikut:-

i) Majlis Pemulihan Negara perlu memperkenalkan pelan strategi yang khusus untuk melonjakkan aktiviti ekonomi luar bandar menerusi pemantapan sentimen perniagaan setempat, pengukuhan pasaran buruh dan pemulihan kuasa pembeli.

ii) Belanjawan 2022 yang bakal diumumkan ini perlu memperuntukkan lebih banyak dana perbelanjaan pembangunan untuk membina semula ekonomi luar bandar. Untuk tahun 2020 dan 2021, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM6.3 bilion dan RM6.7 bilion, oleh itu, kerajaan digesa untuk Belanjawan 2022, sejumlah RM8 bilion dapat diperuntukkan dan dibahagikan ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan lebih adil dan secara bersasar.

iii) Menghampiri Rancangan Malaysia Ke-12 yang bakal diumumkan, pelan lima tahun ini perlu lebih cenderung untuk membina ekonomi luar bandar dengan lebih ketara. Sektor pekerjaan di kawasan luar bandar harus diperkukuhkan, di mana peluang pekerjaan untuk tenaga separa mahir dan berkemahiran tinggi harus digandakan. Kerajaan harus berusaha mengurangkan keperluan graduan Malaysia yang terpaksa meninggalkan kampung halaman kerana tiada pekerjaan yang sesuai dari segi kualiti dan gaji.

Menurut Faiz, secara umumnya, kawasan luar bandar harus bangkit menceburi lebih banyak aspek perniagaan yang mempunyai nilai tambah, malah bukan itu sahaja, lebih banyak pembekal untuk industri penting yang perlu diwujudkan di kawasan luar bandar.

“Ini seterusnya akan mengukuhkan rantaian bekalan atau ekosistem perniagaan dan industri Malaysia terutama sektor pertanian, manakala sebarang peruntukan dan dasar ekonomi bagi kawasan luar bandar harus bersifat bersasar atau mikro serta bersesuaian dengan keperluan rakyat setempat.

“Kita tidak boleh memperkenalkan satu dasar generik bagi kawasan luar bandar dan mengharapkan dasar ini setimpal dengan keperluan di seluruh Malaysia. Misalnya, keperluan sosio-ekonomi rakyat Baling, Kedah berbeza dengan rakyat Tumpat, Kelantan.

“Dorongan kerajaan amat perlu bagi mencapai usaha membangunkan kawasan luar bandar secara tuntas. Maka, kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak pelaburan awam serta swasta di seluruh negara, bukan tertumpu kepada beberapa negeri atau kawasan bandar sahaja,” katanya.

Beliau menyatakan, lihat sahaja prestasi pelaburan yang diluluskan Malaysia untuk tempoh enam bulan pertama 2021, di mana hampir 80 peratus daripada amaun pelaburan diluluskan datang daripada lima negeri sahaja.

Seperti biasa, negeri Kelantan dan Terengganu, antara lain, sukar dilihat dalam kategori lima penerima pelaburan yang tertinggi.

Faiz menegaskan, dalam usaha untuk mengukuhkan ekonomi luar bandar, usaha konstruktif perlu diambil bagi mengubah keadaan itu, walaupun ada cabaran tinggi menjadikannya sesuai dengan kehendak perniagaan dan pelabur, namun negara tidak boleh terus berlengah.

Kata beliau, pembangunan negara harus dikecapi bersama dan inilah hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

“Jika tidak, kesenjangan pembangunan dan sosio-ekonomi luar bandar dan bandar di Malaysia akan terus melebar serta ekonomi luar bandar tidak boleh terus dianak-tirikan dalam arus pembangunan negara dan fiskal kerajaan.

“Prinsip keadilan sosial harus diangkat bagi memastikan kemiskinan di kalangan rakyat terutama di luar bandar dapat dikurangkan,” katanya. – MalaysiaGazette