Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Putrajaya dinasihatkan agar melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kuarantin kepada individu yang mahu memasuki negara ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, syarat kuarantin ketat kepada yang ingin memasuki negara ini boleh membawa mudarat kepada ekonomi negara.

“Kita lihat beberapa negara Eropah, Australia dan sebagainya mengisytiharkan Oktober ini mereka buka seluruh sempadan kepada seluruh dunia tanpa kuarantin.

“Saya ingin bertanya dengan kerajaan Malaysia, apakah kita akan terus berkurung seperti katak di bawah tempurung atau pun kita akan mengikuti langkah-langkah membuka sempadan negara untuk memastikan ekonomi negara ini meningkat,” katanya dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Bung Mokhtar, sekiranya Putrajaya tidak mengambil langkah sama dengan membuka sempadan negara, maka ekonomi negara akan terus malap dan sukar untuk bangkit semula.

“Kalau tidak dibuka, ekonomi kita teruk dan rakyat banyak menderita. Pergi luar negara balik sini kena kuarantin, mana orang (pelancong) mahu datang, mana peniaga nak datang?

“Menteri Kesihatan dan menteri yang jaga vaksin tengok cara ini secara bijaksana dan rasional, negara kita sudah hampir musnah ekonomi dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette