Syed Saddiq Syed Abdul Rahman MUDA Armada CBT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah membenarkan permohonan semakan kehakiman Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu bagi meneruskan semakan kehakiman terhadap kerajaan.

Ini kerana kerajaan didakwa enggan untuk mendaftarkan parti yang diasaskan oleh Syed Saddiq, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan untuk memberikan kebenaran terhadap permohonan tersebut dalam kamarnya hari ini.

Manakala Jabatan Peguam Negara yang mewakili Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak mengemukakan sebarang bantahan oleh MUDA sebentar tadi.

Noorin turut menetapkan 5 Oktober depan bagi pengurusan kes ini.

Sebelum ini, MUDA telah memohon mahkamah untuk untuk membatalkan keputusan Hamzah menolak pendaftarannya bulan lalu.

Jelas mereka, penolakan pendaftaran mereka tidak mengikut Akta Pertubuhan yang telah diperuntukkan.

MUDA juga memohon mahkamah untuk ‘memaksa’ kerajaan untuk memberikan kebenaran mendaftarkan parti mereka.

Pendaftar Pertubuhan sebelum ini pernah menolak pendaftaran MUDA tanpa memberikan sebab awal tahun ini, walaupun pernah membuat rayuan namun pendaftaran mereka tetap ditolak. -MalaysiaGazette