heart disease World Heart Day
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan keberkesanan penggunaan nano mist spray (semburan beralkohol untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat tersebut untuk menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan disinfeksi yang digunakan, serta tempoh masa pendedahan.

Pada masa ini, beberapa larutan disinfeksi sedia ada seperti larutan yang mengandungi alkohol 70%-90%, hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia, dan juga larutan berasaskan klorin berkesan bagi membunuh virus SARS-CoV-2 di permukaan.

Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, larutan disinfeksi yang dinyatakan ini adalah bertujuan untuk nyahkuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia.

”Ini kerana, sesetengah larutan disinfeksi ini boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan juga sistem pencernaan.

”Malah, penyemburan disinfeksi melalui semburan beralkohol tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual,” katanya dalam kenyataan di sini.

Nano mist spray adalah alat penyembur yang boleh menghasilkan titisan halus bersaiz nano dan alat ini dihasilkan untuk pelbagai tujuan termasuk kosmetik, wangian dan pelbagai kegunaan domestik serta industri, bergantung kepada spesifikasi alat dan jenis cecair yang digunakan.

Alat ini terdapat dalam pelbagai bentuk dari saiz kecil untuk penggunaan persendirian seperti spray gun, handheld spray sehingga saiz yang lebih besar untuk kegunaan industri.

Mutakhir ini, semburan beralkohol mula mendapat perhatian umum untuk digunakan sebagai alat disinfeksi bagi mengekang penularan Covid-19 dan ramai beranggapan penggunaan alat ini berupaya menghapuskan virus di udara dan juga di permukaan.

Noor Hisham berkata, pada masa ini pihak KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengeluarkan garis panduan untuk pendaftaran
disinfektan permukaan yang boleh dicapai melalui https://www.npra.gov.my/images/Guidelines_Central/surface_disinfectant/Revi
sion_1_Guideline_for_Registration_of_Surface_Disinfectant.pdf.

Garis panduan ini turut menerangkan keperluan pelabelan disinfektan.

Selain daripada itu, laporan penilaian ke atas pelbagai kaedah disinfeksi untuk mencegah penularan Covid-19 boleh dicapai melalui https://covid19.moh.gov.my/kajian-dan-penyelidikan/mahtas-covid-19-rapid-evidenceupdates – MalaysiaGazette