Nor Zulaikha Roslan berniaga di di Warung Pok Yeh Mee Jawa di Sungai Lembing.

KUANTAN – Berita gembira diterima pengusaha kedai makan apabila kerajaan membenarkan pelanggan yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 untuk menjamu selera di restoran di Pahang.

Bagaimanapun ia tidak begitu menggembirakan Nor Zulaikha Roslan yang baharu memulakan semula perniagaan di Sungai Lembing apabila beliau dikompaun sebanyak RM2,000 baru-baru ini gara-gara tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Persolannya nak tahu juga ada SOP adakah peniaga memang boleh disaman kerana tidak meletakkan pekerja menjaga di meja pendaftaran, pemeriksaan suhu di kaunter depan?

“Atau adakah pelanggan yang perlu mempamerkan bukti cukup dua dos vaksin kepada pengusaha kedai?,” kata wanita berusia 31 tahun itu yang melahirkan kesyukuran kerana mampu menjual 400 bungkus mee jawa pada hujung minggu.

“Apabila kami merujuk Pejabat Kesihatan, pihaknya mengatakan tidak tahu atau dimaklum kesalahan tidak pasti untuk dikategorikan sebagai kesalahan apa,”katanya ketika dihubungi Malaysiagazette.

Berikutan itu, Zulaikha mengharapkan pihak berkuasa lebih bertimbang rasa dan menggunakan budi bicara kerana kebanyakan peniaga berhadapan cabaran getir dalam mengharungi kehidupan semasa pandemik Covid-19

Katanya, mungkin ramai pelanggan mengunjungi kedai makan  pada hujung minggu nanum kesan penularan  virus itu masih terasa kerana tempoh peniaga tidak dibenarkan berniaga agak lama sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami suka bila dibernarkan bila beroperasi namun bila disaman seperti ini rasa terkilan kerana terlalu banyak perubahan SOP, berikutan itu juga selalu kena marah dengan pelanggan.

“Mahu atau tidak, kami terpaksa membayar anggota Rela RM70 sehari bagi menjaga buku pendaftaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette