Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman Nur Sajat transwoman transgender arrested Thailand fugitive
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

RAWANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam proses melengkapkan segala dokumen bagi mengekstradisi usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali Nur Sajat dari Thailand ke negara ini.

Muhammad Sajjad sebelum ini dikategorikan sebagai orang dikehendaki selepas Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu selepas kes berkenaan disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pada masa ini, PDRM sedang berkerjasama dengan Peguam Negara dan Kementerian Luar untuk membolehkan proses membawa pulang Muhammad Sajjad berjalan lancar.

“Kami masih dalam proses menyiapkan dokumen untuk mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa Thailand untuk membolehkan beliau dibawa pulang ke Malaysia.

“Justeru kerjasama dengan Peguam Negara dan Wisma Putra penting bagi membolehkan ia memberi kuasa kepada pihak PDRM untuk dibawa pulang mengikut saluran undang-undang antarabangsa,” katanya dalam sidang media kes sindiket kecurian lori di Jalan Batu Arang, Rawang di sini pagi ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Tambah Abd Jalil, berdasarkan maklumat yang diterima polis, Muhammad Sajjad memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand bahawa dirinya adalah pelarian selepas memiliki kad Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Dalam soal berkaitan, Abd Jalil menasihatkan Muhammad Sajjad supaya pulang secara baik supaya pendakwaan kes yang sedang dihadapinya dapat diselesaikan.

Katanya, dalam kes itu, Muhammad Sajjad merupakan seorang penjenayah yang menggunakan pelbagai kaedah untuk meloloskan diri daripada ditangkap polis.

“Walaupun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga, inilah berlaku ke atas individu bernama Muhammad Sajjad yang dikatakan ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand.

“Kalau dia dengar berita ini, kita menasihatkan agar pulang ke negara asal dengan cara baik tanpa mencabar pihak berkuasa untuk membolehkan dia menghadapi kes yang perlu dilalui di mahkamah.

“Justeru jika benar maklumat sebegitu, (guna orang ketiga lolos ke Thailand), polis akan siasat dan akan menentukan kaedah di sempadan negara supaya tak mudah dibolosi mana-mana pihak seperti didakwa Muhammad Sajjad ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette