Seorang anggota bomba memadamkan api yang membakar kereta Perodua Kancil dinaiki seorang warga emas berusia 82 tahun dalam kejadian di Blok D, Warisan City View, Jalan Cheras pagi tadi. Foto: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut selepas kereta Perodua kancil yang dinaiki terbakar dalam kejadian di Blok D, Warisan City View, Jalan Cheras pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan, lelaki warga emas berusia 82 tahun itu ditemui di dalam kenderaan yang terbakar 50 peratus di tempat letak kereta kediaman bertingkat itu.

“Mangsa turut terbakar 50 peratus dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, jurucakap itu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 10.10 pagi dan tiba di tempat empat minit kemudian.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba Pudu digegaskan ke lokasi bersama jentera jenis LFRT-1.

Turut dikerah ke tempat kejadian Unit Forensik yang akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca insiden itu berlaku. – MalaysiaGazette