Kuala Lumpur – Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat selamat melahirkan bayi perempuan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di sini malam tadi.

Nabil berkata, dia bersyukur apabila proses pembedahan bagi melahirkan bayi sulung dipermudahkan.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Ayda selamat melahirkan anak pada jam 7.07 malam seberat 2.77 kilogram,” katanya ringkas kepada Harian Metro.

Semalam, Ayda menerusi hantaran di Instagram turut memberitahu dia bakal melahirkan bayi sulungnya secara pembedahan seminggu lebih awal dari tarikh yang dirancang.

“Assalamualaikum semua. Insya-Allah ‘baby wuvv’ (gelaran bayinya) akan keluar petang ini. Seminggu awal dari tarikh yang dirancang.

“Mohon maaf kalau ada salah dan silap. Doakan saya dan bayi sihat serta selamat. Amin,” tulisnya.

Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari lalu selepas mengikat pertunangan secara dalam talian pada 28 April tahun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette