Najib Razak IRB Inland Revenue Board tax arrears bankruptcy
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengucapkan syukur kerana polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah membuka kertas siasatan berhubung aduannya terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada minggu lalu.

Mantan Perdana Menteri itu dimaklumkan mengenai kenyataan dari Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din yang menegaskan polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu pemalsuan bagi maksud menipu.

“Maka, jawablah sesiapa yang arahkan untuk menghasilkan taksiran penalti cukai saya yang sengaja disalah kira untuk kenakan saya.

“Jawablah kenapa wang disebut sebagai RM2.6 bilion yang dikembalikan kepada penghantar empat bulan kemudian diambil kira sebagai pendapatan.

“Jawablah kenapa dana yang dipindah dari satu akaun atas nama saya ke akaun atas nama saya yang lain (dalam bank yang sama) turut diambil kira sebagai pendapatan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Mohd Kamarudin dalam kenyataannya mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan berkait laporan polis yang dibuat Najib terhadap LHDN mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Beliau dilaporkan berkata, semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat, manakala orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Polis juga akan memastikan siasatan dijalankan secara adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang undang yang ditetapkan.

Pada 8 September lalu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan membuat laporan polis terhadap LHDN selepas menerima maklumat pegawai agensi itu menerima tekanan dari ahli politik mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang termasuk penalti cukai.

Najib mendakwa mempunyai maklumat dan bukti berlaku pelanggaran kuasa mengikut Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.

Mengulas lanjut, bekas Presiden UMNO itu mahu pihak berkenaan menjawab kepada polis kenapa dana yang diterima dari Kementerian Kewangan Arab Saudi ke akaunnya diambil kira sebagai pendapatan.

Sedangkan, katanya, segala hasil yang diperolehi dari sumber luar negara sudahpun dikecualikan cukai sejak tahun 2004 dan kenapa ianya masih dikira sebagai pendapatan.

“Sedangkan, segala dana yang saya terima telahpun digunakan untuk kerja CSR, kebajikan dan politik yang sepatutnya ditolak dari cukai.

“Dan jawablah sesiapa yang tidak berikan peluang untuk saya membawa kes saya ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) untuk mempertikaikan pengiraan taksiran cukai, tetapi mereka lebih rela untuk bankrapkan saya serta merta untuk putuskan riwayat politik saya.

“Terima kasih atas pemberi-pemberi maklumat yang ingin mempertahankan keadilan sebab memberitahu saya bahawa kes cukai saya sebenarnya telah disiasat tiga kali oleh LHDN dan setiap kali, keputusannya sebenarnya bahawa tiada penalti cukai patut dikenakan atas dana-dana tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, ahli politik telah campur tangan untuk mengarahkan beliau dikenakan penalti cukai tidak munasabah sebanyak RM1.7 bilion dengan menyalah gunakan kuasa “bayar dulu, bincang kemudian” undang-undang cukai.

Katanya, beliau difahamkan siasatan sudah bermula dan beberapa saksi telah dipanggil serta berharap polis akan menyiasat secara adil dan menyeluruh agar dalang tertentu dapat dikenal pasti dan dihukum. – MalaysiaGazette