Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Trend dan statistik jenayah membabitkan kes ah long di negeri ini membimbangkan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia susulan sebanyak 87 kertas siasatan dibuka dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding 91 kes sepanjang tahun lalu.

“Kita lihat trend kes ah long ini semakin naik apabila beberapa sektor ekonomi mula beroperasi dan kita tidak menolak kemungkinan orang awam membuat pinjaman dengan ahlong sebagai alternatif mencari dana perniagaan.

“Masih berbaki tiga bulan untuk cukup setahun tapi kes dilaporkan setakat ini sudah 81 jadi kita bimbang ia akan meningkat lagi.

“Sehubungan itu, pihak polis harap orang awam lebih berwaspada daripada terjerat dengan ah long,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut meminta orang ramai yang diganggu gengster dengan alasan mengutip wang perlindungan untuk membuat laporan agar tindakan lanjut dapat dibuat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata, jumlah kenderaan yang berada di jalan raya dapati menurun sehingga 28 peratus sepanjang empat hari iaitu 16 hingga 19 September.

Katanya, ia menunjukkan orang ramai peka terhadap perkembangan semasa Covid-19 selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Menerusi pemantauan polis sepanjang empat hari berkenaan mendapati keadaan di kawasan tumpuan adalah memuaskan.

“Selain rondaan dan tinjauan, polis turut menggunakan dron bagi memantau lokasi seperti di pesisir pantai,” kata Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast