Ketua Komunikasi Pemasaran Hotel Renaissance, Hezrin Ali (kanan) memantau kakitangan Hotel Renaissance melakukan sanitasi sebagai persediaan menerima pelanggan sempena peralihan fasa dua PPN di negeri Johor esok.

JOHOR BAHRU – Ekoran Johor beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok menjadikan sektor pelancongan di negeri itu termasuk perhotelan sudah bersedia menerima kedatangan pengunjung dan pelancong dalam negeri.

Ia sekaligus memberi nafas lega kepada pengusaha perhotelan di negeri itu.

Berikutan itu, Ketua Komunikasi Pemasaran Hotel Renaissance, Hezrin Ali berkata, pihaknya menjangka menerima peningkatan pengunjung antara 50 hingga 60 peratus sepanjang Fasa 2 PPN di Johor.
Hezrin Ali

“Pihak Renaissance sudah tentu sentiasa bersedia dengan peningkatan pelancong di hotel ini. Peralihan itu juga sudah semestinya membantu kami meningkatkan lagi hasil perolehan sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, pihak hotel juga sedia mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia termasuk arahan memastikan pelanggan harus lengkap vaksinasi serta datang dari negeri Johor sahaja, katanya.

Tinjauan mendapati semua persediaan keperluan SOP telah dilakukan pihak hotel seperti menyediakan penghalang lut sinar di bahagian pendaftaran pelanggan, semburan sanitasi setiap bilik hotel dan penjarakan meja makan dengan jarak dua meter.

Jika sebelum ini ruang makan di kafe boleh menampung keperluan 200 pelanggan kini pihak hotel menetapkan hanya 100 orang sahaja dibenarkan.

Difahamkan, kira-kira 200 pekerja Hotel Renaissance  sudah lengkap dos vaksin bagi memberi keyakinan kepada pelanggan.

Malah bermula Sabtu ini, hidangan secara bufet juga disediakan.

Semalam, kerajaan bersetuju membenarkan peralihan fasa PPN bagi tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast