Timbalan Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa selaku Presiden MySetiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah memberikan sumbangan minyak petrol percuma kepada Riders dan Frontliners di Stesen Minyak Petron Sri Rampai, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 23 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Setiawangsa mengingatkan kerajaan agar tidak melengahkan masa meminda Akta berkaitan dengan ekonomi gig bagi memastikan tenaga kerjanya diiktiraf dan dilindungi Perlembagaan.

Timbalan Ketuanya, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, kerajaan tidak sewajarnya mengetepikan pemain industri baharu itu hanya kerana perkembangan teknologi.

“Jangan kerana menggunakan teknologi baharu, kita tidak ada akta kerana perkembangan semasa. Nak luluskan akta pun lambat di Parlimen, dengan keadaan pandemik ini menjadikan alasan agar kumpulan sasar e-hailing dan p-Hailing tidak dilindungi.

“Saya rasa tindakan ini tidak wajar,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas melancarkan Program PriVo MySetiawangsa di Stesen Minyak Petron Sri Rampai hari ini.

Terdahulu Mohd Irwan melancarkan pemberian minyak petrol secara percuma kepada kira-kira 500 penunggang motosikal dalam kalangan penghantar makanan dan petugas barisan hadapan di sekitar Parlimen Setiawangsa.

Pada Isnin lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNOa, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyediakan lima resolusi selepas dalam Persidangan Meja Bulat Tuntutan Hak Penghantar Malaysia dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dan wakil-wakil Kesatuan P-Hailing dan E-hailing.

Antara resolusi itu ialah menggesa kerajaan mengiktiraf pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing sebagai pekerja bagi membolehkan pekerja ekonomi gig dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 dan akta berkaitan.

Dalam pada itu, Mohd Irwan menggesa kerajaan bersikap terbuka mempertimbangkan cadangan lima resolusi itu bagi menambah baik dasar dan Akta sedia untuk melindungi semua tenaga kerja.

“Kerajaan kena ambil pendekatan dengan hati terbuka untuk mendengar mungkin lebih lima tuntutan mengikut kesesuaian masa agar masalah atau isu berbangkit tersebut dapat diselesaikan dengan kadar segera.

“Letaklah di kementerian mana pun atau melalui akta mana pun, yang penting nasib kumpulan sasar kita sentiasa terlindung dan terjaga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette