equal allocation Members of Parliament MP opposition government
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk memberi peruntukan yang sama kepada semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selama empat bulan ini.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Mohd Yazid ketika menyampaikan ucapan Penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, ia merupakan bukti transformasi Parlimen yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri.

“Untuk makluman Perdana Menteri sangat komited untuk melaksanakan transformasi Parlimen dan atas sebab itu saya ingin memaklumkan bagi baki empat bulan tahun ini, mulai September hingga Disember 2021, Perdana Menteri telah bersetuju untuk memberikan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen tidak kira di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid.- Pix FB.

Terdahulu Mastura berkata, peruntukan khas kepada ahli Parlimen yang diumumkan sebelum ini hanya merupakan pelengkap kepada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan di bawah rancangan pembangunan lima tahun.

Peruntukan untuk kawasan Parlimen sama ada kerajaan dan pembangkang ditetapkan berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan.

“Penyediaan peruntukan di bawah kawasan Parlimen pada ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang dengan nilai yang berbeza sebelum ini adalah mengikut dasar sedia ada yang terdahulu. Ia juga bergantung kepada kemampuan dan kedudukan semasa kewangan kerajaan,” katanya.

Mastura berkata demikian menjawab cadangan yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (BEBAS); Ahli parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman (PH); Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN) dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH) supaya peruntukan ahli Parlimen disalurkan secara sama rata termasuk untuk pembangkang.- MalaysiaGazette