Undi18 Sarawak state election polls Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Undi18 voters Election Commission anti-party hopping
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak berkuasa untuk ‘merehatkan’ Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Datuk Seri Azam Baki.

Bagaimanapun, beliau akan membawa cadangan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (PH) di dalam Dewan Rakyat hari ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

“Di sini, saya tidak ada kuasa ‘merehatkan’ sesiapa tapi saya akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri, tentang macam mana kita boleh fikirkan secara adil kepada semua pihak bukan sahaja kepada SPRM, PM juga kepada Ketua Pesurujaya SPRM,” katanya.

Gobind terdahulu menyifatkan keberadaan Azam Baki dalam SPRM menganggu siasatan apabila beliau sendiri didakwa terlibat dalam kes kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta) milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

“Sudah cukup jelas ada tomahan bahawa kes ini melibatkan pegawai kanan Datuk Seri Azam Baki, bukankah ini akan melibatkan konflik sebab beliau ada kuasa terhadap pegawai terlibat dan ada kuasa masuk campur dalam hal siasatan?

“Jadi, kita perlu buat keputusan kalau mahu siasat di bawah SPRM bukankah perlu kita meminta supaya Azam Baki direhatkan supaya tidak ada sebarang unsur campur tangan atau tekanan terhadap mana-mana pegawai yang menjadi saksi,” kata pemimpin DAP itu.

Sementara itu, Junaidi memaklumkan SPRM pada mulanya telah menjalankan siasatan kes ini di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) bagi kesalahan di bawah seksyen 23 (berhubung salahguna kuasa oleh pegawai badan awam) dan seksyen 36 (berhubung pemilikan harta yang berlebih-lebihan) serta tindakan pelucuthakkan harta.

“Pemulaan siasatan oleh SPRM adalah berdasarkan first information report (FIR) yang diterima oleh SPRM di mana SPRM mempunyai kebertanggungjawaban undang-undang yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29(1) Akta 694 untuk membuat aduan berhubung pelakuan sesuatu kesalahan di bawah Akta 694 agar penyiasatan dapat dijalankan dengan menggunakan segala kuasa penyiasatan di bawah Akta 694 dan Kanun Tatacara Jenayah sebagaimana diperuntukkan lanjut di bawah Seksyen 29(3) Akta 694.

“Selain itu, Seksyen 67 Akta 694 memperuntukkan bahawa peruntukanperuntukan di bawah Akta 694 adalah terpakai ke atas SPRM bagi suatu ‘kesalahan ditetapkan (prescribed offence)’ yang antaranya merangkumi beberapa kesalahan di bawah Kanun Keseksaan. Penetapan kesalahankesalahan yang disiasat oleh SPRM berhubung kes ini adalah di bawah bidang kuasa SPRM sebagaimana agensi-agensi penguatkuasaan yang lain,” jelasnya.

Sehubungan itu, ujar beliau, SPRM turut menyiasat kes ini di bawah Seksyen 403 (berhubung salahguna harta secara tidak jujur) dan Seksyen 409 (berhubung pecah amanah jenayah) Kanun Keseksaan (Akta 574) di mana kesalahan -kesalahan tersebut merupakan kesalahan ditetapkan (prescribed offence) di bawah Akta 694.

Katanya, siasatan SPRM terhadap pegawai sendiri bukan perkara yang luar biasa asalkan ia termaktub di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.

“Dalam hal ini, apabila FIR diterima oleh SPRM adalah menjadi kewajipan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa kelengahan. Dalam tempoh siasatan bermula sehingga reman tamat, tiada sebarang laporan Polis yang dibuat oleh manamana pihak. Hanya selepas isu ini dibangkitkan oleh Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini, barulah ada pihak yang membuat laporan polis,” katanya lagi.

Untuk rekod, SPRM pada Isnin lalu mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, polis akan membuka kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang diterima berkaitan isu berkenaan.

Hari ini, polis memaklumkan akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman enam hari oleh agensi itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang RM25 juta.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu direhatkan – Majlis Presiden PH