SOP violation Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021. Tok Pa Mustapa Mohamed Mohd Rahid Hasnon durian feast dining-in Alfath Cafe Jeli Batu Pahat
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

GOMBAK – Berpura-pura sebagai pelanggan, itu antara modus operandi yang digunakan sekumpulan lelaki berumur antara 20 hingga 30an bagi melakukan jenayah samun kedai emas di sekitar Lembah Klang, sejak Mei lalu.

Kegiatan jenayah samun berkumpulan itu yang dikenali sebagai Geng Amir @Kecik bagaimanapun berjaya ditumpaskan pihak polis dalam 13 serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang antara 12 hingga 21 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sepanjang Mei hingga September ini, polis menerima sebanyak empat kes samun kedai emas secara berkumpulan bersenjatakan parang, kapak dan tukul besi.

“Ahli kumpulan ini akan berpura-pura sebagai pelanggan dan membuat pemerhatian ke atas kedai emas yang akan dijadikan sasaran bagi menentukan kelemahan yang ada di premis tersebut.

“Kumpulan ini akan menggunakan dua motosikal sama dan akan menukar cover set motosikal serta akan membakar pakaian yang dipakai selepas melakukan samun.

“Bermula 12 hingga 21 September 2021, seramai 21 lelaki dan dua perempuan ditangkap di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan samun kedai emas ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati seramai tujuh suspek berperanan melakukan samun, enam sebagai pembeli barang kemas hasil samun, dua lagi menyimpan hasil samun dan lapan suspek pula rakan sejenayah yang mempunyai pengetahuan tentang kegiatan samun tersebut.

Katanya, dengan tertumpasnya kumpulan ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah berjaya menyelesaikan empat kes samun kedai emas di sekitar Lembah Klang, masing-masing dua kes di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kejadian pertama berlaku pada 16 Mei 2021 di Kedai Emas Lionn, Pasaraya Ong Tai Kim, Setapak melibatkan kerugian hampir RM600,000.

“Kejadian kedua pula berlaku pada 22 Mei 2021 di Kedai Emas Pooi Li, Jalan Besar Seri Kembangan melibatkan kerugian hampir RM34,000.

“Kejadian ketiga berlaku pada 22 Ogos 2021 di Kedai Emas Chiang Geng Jewellery, Jalan Metro Perdana Kepong melibatkan kerugian hampir RM45,000.

“Manakala kejadian keempat pula berlaku pada 8 September 2021 di Kedai Emas Permata Cahaya Dewi, Jalan Batu 6, Gombak melibatkan kerugian berjumlah RM200,000,” jelasnya.

Susulan tangkapan itu juga, pihak polis berjaya merampas pelbagai jenis hasil samun kedai emas dan barang kes berkaitan.

Antaranya enam ketulan emas yang telah dileburkan, empat rantai leher emas dan dua rantai tangan emas dengan berat keseluruhan 778.4 gram bernilai kira-kira RM203,479.

“Turut dirampas sebilah parang, tiga motosikal jenis Yamaha Y15 dan Yamaha 135LC, dua cover set motosikal, tiga topi keledar, dua jaket, satu alat penimbang emas, lapan buku resit dan 25 resit jual beli emas serta 15 telefon bimbit,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast