Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Pokok Sena, Tasek Gelugor baru-baru ini.

TASEK GELUGOR – Selepas enam hari bertarung nyawa, seorang pelajar Tingkatan Lima yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Pokok Sena di sini, meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Muhammad Taufiq Muizz Zulkeflee, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Dato Kailan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan motosikal itu berlaku pada 19 September lalu kira-kira jam 9.55 pagi.

“Siasatan mendapati sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah Pokok Sena menghala Jalan Pokok Machang membuat pusingan U sebelum datang sebuah motosikal jenis Honda Ex-5 secara bertentang dan melanggar bahagian kanan kereta tersebut.

Noorzainy.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Difahamkan, mangsa yang mempunyai lesen memandu sah itu melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Tambah Noorzainy, mangsa bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Neuro HPP hari ini.

Pelajar lelaki itu dilaporkan meninggal dunia selepas enam hari bertarung nyawa.

“Pihak polis terima panggilan daripada pihak hospital berkenaan pada jam 10.30 pagi tadi yang memaklumkan mangsa meninggal dunia.

“Bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan di Jabatan Forensik HPP bagi mengetahui punca kematian,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette