Hamzah Zainudin

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memburu individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dengan mendaftar masuk ke premis perniagaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menegaskan perkara itu berkata, tindakan menahan individu terbabit akan dilakukan di premis dan rumah berpandukan aplikasi MySejahtera.

“Bagi membolehkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa dengan pantas dan tegas, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Covid-19 (JKPS) telah meminta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran perintah HSO secara serta merta (real-time) kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan penguatkuasaan di lapangan.

“Melalui maklumat tersebut, pihak berkuasa seperti PDRM dapat diatur gerak terus ke mana-mana lokasi yang telah dikenal pasti bagi tujuan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hamzah berkata, pemilik premis perniagaan yang didapati membenarkan individu HSO memasuki premis mereka juga akan diambil tindakan sama.

“Jika individu itu tiada di premis berkenaan, (berdasarkan) bukti itu (daftar masuk MySejahtera) kita akan terus pergi ke rumah seperti ditunjukkan dalam aplikasi terbabit,” tambahnya.

Hamzah memberitahu, melalui Program HIDE, pihak berkuasa dapat mengesan jika berlakunya pelanggaran individu yang menjalani perintah kuarantin atau pengawasan di rumah.

“Melalui Program HIDE, bila masuk dalam check-in, maka keluar (informasi) individu tersebut yang sepatutnya tidak boleh keluar,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan seramai 523 individu yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dikesan mendaftar masuk ke premis perniagaan ketika tempoh kuarantin.

Daripada jumlah itu, sebanyak 18 peratus individu didapati telah mendaftar masuk ke premis pasar raya.

Tambah beliau, JKPS telah bermesyuarat penambahbaikan strategi pelaksanaan penguatkuasaan dan pematuhan SOP Covid-19. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast