KUALA LUMPUR – Negeri Selangor mencatatkan jumlah kekosongan jawatan aktif tertinggi iaitu sebanyak 54,781 jawatan diikuti oleh Kuala Lumpur (41,346) dan Sarawak (24,609).

Daripada kekosongan jawatan yang direkodkan oleh portal MYFutureJobs, sektor pembuatan menyumbang kekosongan jawatan terbanyak iaitu 371,964 jawatan.

Sektor perkhidmatan makanan dan minuman pula menawarkan 235,969 jawatan kosong manakala, serta sektor pemborongan dan peruncitan sebanyak 162,488 jawatan kosong.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kementerian itu menyambut baik langkah kerajaan untuk melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) seiring dengan sasaran untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan dalam negara.

Menurutnya, berdasarkan kepada sasaran dan senario pasaran pekerjaan negara semasa serta usaha bagi mewujudkan peluang pekerjaan termasuk aspek latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang mendapat pekerjaan, beliau telah mencadangkan pembangunan satu platform digital sehenti dalam Mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lalu dan cadangan ini telah disambut baik dan dipersetujui oleh Majlis Pekerjaan Negara.

Menurutnya, platform ini bertujuan bagi memastikan semua latihan peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran (upskilling/reskilling) yang dilaksanakan oleh semua kementerian/jabatan serta menggunakan dana kerajaan dapat dipantau secara berstruktur dan efektif.

Susulan itu, KSM menerusi HRD Corp bersama Kementerian Kewangan akan membangunkan platform digital sehenti ini untuk mengurangkan ketirisan dana
kerajaan akibat tuntutan berganda oleh penyedia latihan.

Selain itu, platform ini juga bertujuan untuk mengelak berlakunya pendaftaran bertindih daripada peserta seterusnya akan menjejaskan peluang peserta lain untuk menyertai pelbagai program peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran yang dilaksanakan oleh kementerian/jabatan dengan bantuan kewangan Kerajaan.

Ia juga membantu pencari kerja untuk mendapat pekerjaan baharu ketika negara berdepan pandemik Covid-19, KSM telah memperkenalkan Program PenjanaKerjaya (Program Insentif Pengambilan Pekerja) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Insentif yang berjumlah antara 40% dan 60% daripada gaji tawaran selama enam bulan, akan diberikan kepada majikan bagi menggalakkan penciptaan pekerjaan dan pengambilan pekerja tempatan.

Menurutnya, Perkeso telah menyalurkan lebih daripada RM1.2 bilion dana kerajaan dalam bentuk insentif bagi menempatkan 160,554 pekerja pada tahun 2020 dan 217,148 pekerja pada tahun 2021.

KSM juga telah menyalurkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan berjumlah RM646.15 juta kepada orang yang kehilangan pekerjaan sejak penularan wabak Covid-19 sehingga kini.

Di bawah Belanjawan 2021 dan Pakej PEMULIH, Elaun Mencari Pekerjaan ini telah ditambah baik dan diperluaskan kepada orang yang kehilangan pekerjaan serta pencari kerja yang tidak memenuhi kelayakan caruman ataupun tidak berdaftar lagi di bawah PERKESO.

Bagi para pencari kerja yang memerlukan bantuan perkhidmatan pekerjaan, mereka boleh mendaftar di Portal MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/.

Sehingga 22 September 2021, terdapat sebanyak 227,262 kekosongan jawatan ataupun peluang pekerjaan yang masih aktif.

Saravanan menambah, sejak 1 Januari 2021 sehingga kini, KSM berjaya membantu seramai 217,013 individu memperoleh pekerjaan menerusi Portal MYFutureJobs dan juga melalui Program PenjanaKerjaya (Program Insentif Pengambilan Pekerja) yang telah diperkenalkan Kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi. – MalaysiaGazette