Pesawat Airbus, A380 milik ANA dengan badannya memaparkan gambar penyu berada di landasan untuk berlepas.

NARITA – Landasan di Lapangan Terbang Narita, timur Tokyo terpaksa ditutup kira-kira 12 minit dengan lima penerbangan dilewatkan sehingga 15 minit semalam apabila seekor kura-kura dilihat melintas ladasan tersebut.

Seorang juruterbang yang mengendalikan sebuah pesawat hampir berlepas di landasan sepanjang 4,000 meter itu memaklumkan kepada pengawal trafik udara mengenai kehadiran haiwan itu pada jam 11.35 pagi semalam.

Berikutan itu Narita International Airport Corp. menutup landasan berkenaan dan membawa kura-kura itu ke tempat yang selamat.

Menurut pejabat Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan di Lapangan Terbang Narita, antara pesawat yang mengalami kelewatan ialah pesawat All Nippon Airways (ANA) yang mana badan pesawat tersebut memaparkan gambar penyu.

Kura-kura sepanjang 30 sentimeter dengan berat 2.1 kilogram itu dilaporkan menghuni kolam simpanan milik lapangan terbang tersebut yang terletak kira-kira 100 meter dari landasan tersebut.

Walaupun sekali sekala terdapat kes kucing, anjing dan arnab menceroboh landasan namun kehadiran seekor kura-kura jarang berlaku.

Pada hari itu, pesawat Airbus, A380 milik ANA yang biasanya digunakan untuk laluan Tokyo – Hawaii itu sedang siap sedia untuk berlepas bagi penerbangan sulungnya ke Naha, Okinawa.

Syarikat penerbangan tersebut dalam kenyataannya bekata: “Di Hawaii, penyu dilihat membawa tuah dan kami berharap kura-kura yang mahu melihat pesawat ini berlepas memberi isyarat masa depan yang cerah,”. – Agensi