JOHOR BAHRU – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memulakan lawatan kerja pertamanya hari ini di Johor menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi.
Ismail Sabri tiba di Istana Pasir Pelangi pukul 11.45 pagi tadi.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad turut hadir.
Pertemuan tersebut difahamkan berlangsung selama satu jam.
Ini merupakan pertama kali beliau turun ke Johor sebagai perdana menteri selepas dilantik pada 21 Ogos lalu.
Selepas pertemuan itu, Ismail Sabri turut hadir mendengar taklimat pembangunan negeri Johor oleh kerajaan Johor di Hotel Thistle kira-kira pukul 2.40 petang tadi.
Ismail Sabri juga dijadualkan mengadakan pertemuan bersama pemimpin masyarakat.
Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bertitah mahu kerajaan menyegerakan semakan semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.
Baginda membangkitkan isu berkenaan ketika menerima mengadap perdana menteri.
Sultan Ibrahim bertitah, Johor merupakan antara destinasi utama pelaburan asing, selain negeri ini juga antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. – MalaysiaGazette