Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN –  Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun merupakan antara 74 individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang bermula pukul 2 petang, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Ops Samseng Jalanan dijalankan sekitar Pantai Dhe Rhu dan Pantai Kempadang, di sini, berjaya menahan individu dan kenderaan dengan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 117 saman dikeluarkan dalam Ops Samseng melibatkan  74 individu yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

“Orang kena tahan yang berusia 10 hingga 28 tahun terdiri daripada 61 lelaki dan 13 perempuan.

“Sebanyak 20 kenderaan telah disita atas pelbagai kesalahan termasuk 46 tidak memakai topi keledar, 21 tiada lesen, lima tiada cukai jalan, empat tiada insuran,” katanya sidang media di Ibu Pejabar Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Operasi itu membabitkan tujuh pegawai dan 37 anggota dengan kerjasama Jabatan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Pahang dan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan.

Menurut Ramli, kesemua yang  terlibat dibenarkan pulang setelah proses dokumentasi dan pengeluaran saman selesai.

“Polis Pahang memilih advokasi dan mengharapkan ibu bapa sentisasa memberi kerjasama dengan mengawasi anak.

“Manakala tiga individu ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan diberikan jaminan polis setelah diambil keterangan,” ujarnya.

Jelasnya, jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak melebihi tempoh lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000. – MalaysiaGazette