Ketua Pergerakan Pemuda UMNO< Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengakui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah simpanan hari tua yang penting untuk survival rakyat kemudian hari.

Malah, Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan minggu lalu, menunjukkan data serupa seperti 46 peratus  pencarum berumur 55 tahun hanya ada simpanan kurang daripada RM10,000.

Menurut Amir Hamzah, rata-rata rakyat hanya boleh bertahan selama tiga tahun selepas bersara secara purata dengan jumlah simpanan KWSP yang mereka ada.

Justeru, katanya, Asyraf mengemukakan hujah balas dalam pertemuan tersebut bagi mempertahankan rasional kenapa rakyat menuntut i-Citra minima RM10,000 secara one-off.

“Pertama, suasana kecemasan musim pandemik memerlukan pelbagai pendekatan mendesak terutama bagi menjamin jaringan keselamatan sosial rakyat.

“Kedua, jutaan rakyat hilang pendapatan akibat pandemik sama ada diberhentikan kerja, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup dan pendapatan gaji hari yang terencat, memberi kesan kepada keupayaan rakyat untuk berbelanja, sekali gus mengakibatkan aliran tunai dalam ekonomi terjejas teruk.

“Ketiga, rakyat terdesak untuk bayar komitmen bulanan seperti sewa rumah, ansuran kereta, bil utiliti, kad kredit, selain tertekan untuk penuhi tuntutan perut, keperluan dapur keluarga, keperluan persekolahan anak-anak (PdPR) dan lain-lain,” katanya dalam hantara Facebooknya hari ini.

Menurut Asyraf, bantuan kerajaan seperti BPR, BPN dan BKC yang sebelum ini amat terhad dan hanya memfokuskan kepada B40, menyebabkan ramai dalam kalangan rakyat yang masih tercicir.

Sedangkan, ujar beliau, mereka juga telah jatuh dalam kategori susah dan terdesak terutama kalangan M40 sebelum ini.

“Oleh itu, demi kelangsungan hidup sekarang, membenarkan pengeluaran caruman daripada KWSP pasti akan melegakan ramai yang memang hakikatnya sudah sampai ke peringkat nyawa-nyawa ikan.

“Pengeluaran dengan jumlah terhad daripada simpanan hari tua KWSP seperti i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra hanya untuk solusi jangka pendek bagi rakyat tidak terputus tunai di tangan dan melangsaikan komitmen yang tertunggak ketika pandemik ini.

“Tiada jaminan untuk kelangsungan hidup dan merasa simpanan mereka sehingga hari tua jika keadaan mendesak dan cemas hari inipun tidak dapat ditangani,” katanya.

Beliau menjelaskan, i-Sinar, i-Lestari hatta i-Citra mampu membantu negara melancarkan aliran tunai dalam ekonomi.

Contohnya, kata Dr. Asyraf, ketika kerajaan benarkan pengeluaran i-Sinar RM10,000 pada Januari dan Februari lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tiba-tiba melonjak kepada enam peratus pada Mac.

“Sedangkan sebelum itu KDNK kita negatif. Sebab apa? Ini kerana apabila rakyat ada wang lebihan, perbelanjaan dan perniagaan akan naik.

“Kalau ada peningkatan maknanya duit rakyat makin banyak. Kalau negatif, maknanya kita rakyat secara keseluruhan makin miskin,” katanya.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu juga, ada beberapa cadangan yang Pemuda UMNO turut kemukakan untuk tangani isu bagi menampung kembali kelompongan simpanan KWSP akibat pengeluaran musim kecemasan.

Antaranya, meningkatkan kadar caruman wajib majikan untuk tempoh tertentu dan memperluaskan caruman termasuk kepada sektor informal seperti Gig ekonomi.

Di samping itu, Pemuda UMNO turut mencadangkan kepada kerajaan untuk berusaha mendatangkan solusi jangka sederhana dan panjang termasuk menyediakan bantuan tunai secukupnya kepada rakyat dalam Bajet 2022.

“Selain mencipta peluang pekerjaan baharu untuk anak muda termasuk skim jaminan pekerjaan dan mengupayakan kembali projek infrastrukur berskala besar yang punya kesan gandaan ekonomi bagi segera merangsang pertumbuhan dan peluang kerja kepada rakyat.

“Jika ini berjaya, rakyat tidak perlu lagi bergantung kepada pengeluaran wang simpanan KWSP yang tentu sekali boleh menjejaskan masa depan mereka di kemudian hari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast