Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin persoal 8 daerah di Sabah termiskin di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Mengapa masih terdapat lapan daerah di Sabah masih dilaporkan sebagai daerah termiskin di Malaysia, sedangkan kebanyakan kawasan berkenaan diwakili menteri serta timbalan menteri.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, daripada 10 daerah termiskin di Malaysia pada tahun 2019, lapan daerah ialah Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod dan Nabawan.

“Kesemua kawasan ini adalah di bawah kawasan Parlimen yang memiliki menteri dan timbalan menteri seperti di Kota Maradu (diwakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Maximus Ongkili), di Beluran (Menteri Pertanian, dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee).

“Manakala di Nabawan (Timbalan Menteri Kerja Raya Arthur Joseph Kurup), Pitas pula dibawah Parlimen Kudat sebelum diwakili bekas Timbalan Menteri Kewangan, Rahim Bakri, di Tongod yang juga bawah kawasan Parlimen Kinabatangan pula kini diwakili Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar.

“Selain itu, di Kota Belud yang merupakan kawasan hebat memiliki tiga pemimpin kanan sebelum ini berasal dari sana iaitu mantan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak serta bekas Menteri EPU (Unit Perancang Ekonomi) Datuk Seri Rahman Dahlan,” katanya dalam laman, Facebook hari ini.

Menerusi hantaran itu, Foong Hin juga berkongsi gambar salah satu halaman dalam buku laporan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menunjukkan senarai daerah termiskin di negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar menteri dan timbalan menteri yang telah dilantik dapat melonjakkan pembangunan di daerah termiskin di Malaysia.

“Jangan berpuluh tahun memegang jawatan wakil rakyat di sana sampai memegang jawatan menteri namun rakyat di kawasan diwakili ini masih hidup dalam keadaan miskin tegar,” ujarnya. – MalaysiaGazette