Anggota bomba dan penyelamat dari Balai Sekinchan mengeluarkan bayi yang terjatuh selepas dilahirkan wanita tempatan ketika hendak buang air besar di tandas sebuah restoran ikan bakar di Sekinchan dalam kejadian 4 petang hari ini. Foto: Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang bayi dilahirkan dalam tandas ketika ibunya sedang buang air besar di sebuah restoran di Sekinchan, Selangor, hari ini.

Namun bayi tersebut meninggal dunia walaupun dia berjaya dikeluarkan dari mangkuk tandas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan insiden bayi terjatuh dalam lubang mangkuk tandas pada jam 4.03 petang dan sejurus selepas itu anggota dari Balai Bomba Sekinchan dikejarkan ke premis Abah Bonda Ikan Bakar Parit 7, Sekinchan.

“Sebuah jentera pasukan FRT (First Rescue Team) dengan sembilan anggota diketuai Pegawai Kanan Bomba Mohd Khairul Anuar Abu Bakar.

“Hasil semakan di tempat kejadian mendapati seorang wanita tempatan berusia 37 tahun dipercayai mengandung tujuh bulan telah melahirkan anak secara tidak sengaja dalam tandas ketika hendak membuang air besar.

“Malangnya bayi yang dilahirkan itu telah terjatuh di dalam lubang mangkuk tandas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bayi berkenaan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dari lubang tandas setelah memecahkan mangkuk tandas.

Namun menurut Norazam, bayi tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut bergegas ke lokasi kejadian.

Sementara itu, beliau memberitahu, ibu bayi itu berada dalam keadaan stabil dan dia dihantar ke Hospital Tanjung Karang menggunakan ambulans. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast