Minister of Transport Datuk Seri Dr Wee Ka Siong train crash LRT Kelana Jaya hostler negligence counterflow driving against traffic flow driver fatal road accidents
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Sebanyak 807 kes pemanduan lawan arus dilaporkan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 29 kes melibatkan kemalangan maut, 17 kes membabitkan kemalangan parah, 49 kes adalah  kecederaan ringan 49 kes manakala 712 menyebabkan kerosakan.

“Kajian mendapati faktor manusia adalah merupakan penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebih had, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus seperti penggunaan telefon bimbit, aplikasi tunjuk arah dan tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Lisan (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Ibrahim meminta Ka Siong mendedahkan data dan statistik kemalangan jalan raya yang melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus.

Terbaharu pada 17 September lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan selepas memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan dua kematian dalam kemalangan di Kilometer 8.6 Lebuh Raya Persekutuan.

Media sebelum ini melaporkan dua remaja iaitu Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syami Dzul Asri, 19, maut selepas kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton yang dipandu melawan arus di Kilometer 8.6 Lebuh Raya Persekutuan, pada 12 September lalu.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, sebanyak 2,560 kematian nahas jalan raya direkodkan untuk tempoh sama dan daripada jumlah itu 11 adalah kematian akibat di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Bagi membendung peningkatan kes-kes seumpana itu, Kementerian Pengangkutan telah menguatkuaskan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 mulai 30 Oktober tahun lalu, ujarnya.

Tambah beliau, pindaan itu adalah terhadap hukuman sedia ada termasuk meningkatkan kadar denda serta tempoh penjara.

“Pindaan hukuman ini adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan orang ramai supaya mematuhi undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette