Datin Seri Rosmah Mansor

PUTRAJAYA – Kes permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan prosiding perbicaraan rasuahnya akan didengar Mahkamah Rayuan di sini pada 4 Oktober depan.

Ketika ini, mahkamah telah menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu untuk membatalkan perbicaraan berkaitan kes rasuah projek solar hibrid sekolah Sarawak.

Rosmah juga telah memohon untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes melibatkan dirinya itu.

Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah telah mengesahkan kes itu yang akan didengar di Mahkamah Rayuan kelak.

Kata beliau, mahkamah hari ini telah menetapkan 13 Oktober ini untuk pengurusan kes rayuan Rosmah yang telah diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

Pada September lepas, Rosmah gagal dalam permohonannya membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dihadapinya dan menggugurkan Gopal sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan berkata, kebenaran diberikan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas kepada Gopal untuk menjalankan pendakwaan jenayah dalam kes Rosmah adalah tanpa keraguan.

Ini berdasarkan Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) atas kapasitinya sebagai Pendakwa Raya

Pada 6 Mei lepas, Rosmah telah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi membatalkan keseluruhan perbicaraannya selain menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan kesnya.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa antara Januari 2016 hingga September 2017 dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Mahkamah Tinggi juga telah memerintahkan Rosmah bela diri atas tiga pertuduhan rasuah terhadapnya dan akan mula prosiding pada 5 Oktober ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast