Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) komited untuk menyediakan peruntukan kewangan secukupnya bagi membiayai perbelanjaan pembangunan RMK-12 bagi tempoh 2021-2025 yang dianggarkan berjumlah RM400 bilion.

Ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding RM248.5 bilion bagi RMK-11.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan bagi Bajet 2022 juga akan dipertingkatkan demi memacu aktiviti pemulihan sosio-ekonomi dan agenda pembangunan negara.

Ia selaras dengan fokus Bajet 2022 untuk memulih dan membina semula daya ketahanan negara bagi menangani krisis pada masa depan antara lainnya dengan memperkukuhkan sistem kesihatan awam.

Sehubungan itu, Bajet 2022 akan menyokong strategi RMK-12 untuk meningkatkan kesiapsiagaan hospital negara serta kapasiti unit rawatan rapi, termasuk melalui usahasama dengan penyedia kesihatan swasta.

Selain itu, membina daya tahan negara melalui konsep keterangkuman, terutamanya dari segi mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan masyarakat dan jurang pembangunan terutamanya antara negeri.

MOF juga akan memangkin pembaharuan selaras dengan dasar dan strategi yang diutarakan dalam RMK-12.

Sehubungan itu, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G, program JENDELA serta meningkatkan pengamalan digital terutamanya oleh PKS. Fokus RMK-12 kepada pembangunan lestari juga akan disambut dalam Bajet 2022 ke arah mencapai neutral karbon, contohnya melalui dasar menggalakkan kenderaan elektrik (EV).

Seterusnya, dengan pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), pendigitalan dan penggunaan teknologi akan menjadi keutamaan untuk meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Katanya, dasar ini juga seiring dengan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam jangka masa
sederhana termasuk melalui pelaksanaan kerangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), dan juga inisiatif transformasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di bawah program Perkukuh Pelaburan Rakyat.

Bagi memastikan ruang fiskal yang mencukupi untuk membiayai kesemua program-program pembangunan di bawah RMK-12, kerajaan kekal komited terhadap langkah konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Fiskal Jangka Sederhana dan disokong Strategi Hasil Jangka Sederhana untuk meluaskan asas cukai serta meningkatkan kemampuan keberhutangan kerajaan, jelas beliau.

Dalam jangka masa pendek, terdapat keperluan untuk meningkatkan had statutori hutang bagi menyediakan ruang fiskal tambahan dalam menyokong pembukaan sektor-sektor ekonomi dan memastikan pemulihan yang mampan.

Walaupun ini akan meningkatkan sasaran defisit Malaysia yang dianggarkan meningkat kepada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021, namun kerajaan tetap komited untuk langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana.

Selain itu, cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal atau Fiscal Responsibility Act (FRA) juga akan membantu meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara.

Tengku Zafrul berkata, keutamaan semasa kerajaan untuk melindungi nyawa daripada Covid-19 dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Katanya, keutamaan ini bukan sahaja akan dilaksanakan selari dengan teras-teras RMK-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, tetapi juga akan berteraskan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah bagi mendepani situasi Covid-19 yang mencabar serta meminimumkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast