Dr Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Dakwaan seorang aktivis mengenai kematian lima remaja selepas mendapat suntikan vaksin di Perak, Sabah dan lokasi yang tidak dimaklumkan, adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya mengambil maklum dengan klip video yang tular semalam dan satu siasatan telahpun dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, dua remaja berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh, Perak, meninggal dunia sebelum mereka menerima suntikan vaksin.

“Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun adalah pelajar Tingkatan 5 SMK Tasek Damai. Beliau adalah seorang pesakit penyakit kencing manis jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin.

“Pelajar ini dijangkiti Covid-19 dan meninggal pada 18 Ogos lalu sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.

“Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, pelajar Tingkatan 5 di SMK Tasek Damai dan menghidap penyakit jantung kongenital. Pelajar ini dibawa ke Unit Kecemasan Hospital akibat jangkitan kuman yang teruk,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, ketika dirawat, bantuan pernafasan dan resusitasi diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 September lalu serta belum menerima vaksin Covid-19.

Jelasnya, punca kematian pelajar terbabit adalah sepsis dengan sejarah penyakit kongenital (Sepsis with Underlying Congenital Health Disease).

Manakala, hasil siasatan pula mendapati tiada laporan kematian remaja di Lahad Datu akibat vaksin Covid-19.

Sementara itu, berhubung dakwaan dua remaja dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesan sampingan susulan suntikan vaksin jenis Comirnaty, Dr Noor Azmi berkata, siasatan pihaknya mendapati, dua remaja yang berusia 16 dan 18 tahun itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh.

Ujarnya, remaja berusia berusia 16 tahun itu sudah dibenarkan keluar dari hospital manakala, remaja yang berusia 18 tahun pula masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital itu.

“Semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimanapun mendapati laporan kesan sampingan kedua beradik ini masih belum diterima.

“KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI), untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Azmi berkata, penyebaran maklumat yang tidak benar kepada masyarakat adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab selain KKM menasihatkan semua pihak yang ingin membuat kenyataan umum untuk bersedia bertanggungjawab terhadap kesan dan implikasi daripada tindakan yang dibuat.

Tegasnya, semua pihak perlu memastikan kesahihan sumber maklumat yang ingin dikongsi daripada sumber atau pihak bertanggungjawab, sebelum mengeluarkan maklumat awam.

Katanya, kenyataan yang salah akan menyebabkan kekeliruan dan salah tanggap ibu bapa terhadap Program Vaksinasi Covid-19 untuk Remaja.

Selain itu, beliau menggesa KKM menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty berikutan kesan sampingan selepas vaksinasi boleh berlaku dan kebanyakannya adalah kesan ringan.

“Sila bawa anak atau tanggungan ke fasiliti kesihatan dengan segera untuk rawatan sekiranya mengalami gelaja selepas menerima vaksin seperti sakit dada, sukar bernafas, berdebar-debar, bengkak dan gatal pada tubuh yang teruk,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast