Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan tiada sebarang kebocoran data yang berlaku, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut Hamzah, satu siasatan dalaman telah dijalankan dan JPN turut mengesahkan tiada sebarang kes sedemikian terjadi.

“JPN berkongsi sistem MyIDENTITY ini bukan sahaja dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tetapi beberapa agensi kerajaan yang lain bagi tujuan semakan dan pengesahan identiti warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berurusan di agensi masing-masing.

“JPN telah menjalankan siasatan dalaman dan kita dapati tiada kebocoran atau perkara-perkara tidak diingini berlaku dalam sistem JPN itu sendiri. JPN juga mengesahkan tiada sebarang kes seperti demikian yang pernah berlaku sebelum ini.

“Jadi kita nak maklumkan jangan risau, ‘our firewall is quite strong‘ dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memastikan keselamatan dan integriti data rakyat Malaysia yang berada di bawah jagaan JPN adalah terjamin,” katanya menerusi sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu Hamzah menyampaikan watikah pelantikan kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara dilanjutkan secara kontrak selama dua tahun bermula 4 Oktober ini sehingga 3 Oktober 2023.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, orang ramai juga tidak perlu bimbang mengenai data-data peribadi mereka yang disimpan oleh JPN.

“KDN akan memastikan semua agensi selepas ini yang menggunakan data MyIDENTITY daripada JPN segera mengambil langkah keselamatan yang lebih ketat dan sentiasa mematuhi polisi penggunaan MyIDENTITY bagi mengelakkan kebocoran data daripada dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini adalah sesuatu yang kita akan mulai daripada sekarang, kita akan jemput semua agensi yang kita telah berikan penggunaan MyIDENTITY ini, kita maklumkan kepada mereka dan JPN akan pastikan apakah kaedah-kaedah yang patut mereka lakukan, kalau tidak kita tidak membenarkan lagi mereka gunakan MyIDENTITY.

“Ini adalah penambahbaikan untuk tujuan memastikan tidak ada lagi data yang bocor daripada mana-mana agensi,” ujarya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, dianggarkan lebih 100 agensi menggunakan data daripada pangkalan MyIDENTITY.

Namun beliau berkata, tidak kesemua agensi berkenaan menggunakan data tersebut secara efektif.

“Sebab itu saya sebut beberapa agensi sahaja, yang kita benarkan dahulu memang betul banyak tapi kita akan kurangkan dari masa ke semasa kerana hanya mereka yang mahu benar-benar menggunakannya, kita benarkan.

“Jadi ada angka yang kita akan jadikan satu penanda aras bahawa yang ini kita boleh benarkan, yang lain itu kalau mahu mereka perlu minta verifikasi dari JPN sebab kalau kita beri semua kadang-kadang ‘leakage’ melalui agensi tersebut.

“Contohnya ada agensi pada tahun ini baru guna empat hingga lima kali verifikasi dan saya tidak rasa kita patut benarkan mereka untuk gunakannya lagi, itu cara yang kita buat dengan memutihkan segala apa yang kita benarkan sebelum ini,” katanya.

Hamzah turut menegaskan supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba membuat sebarang andaian mengenai isu tersebut kerana siasatan lanjut sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Biar polis yang mengesahkan kebocoran itu dapat dari mana, jangan buat andaian buat masa ini, kadang-kadang ia hanyalah strategi mereka untuk menjual data, jadi saya ingin maklumkan kepada rakyat Malaysia, pasti PDRM akan siasat secara terperinci bagi mengetahui di mana kebocoran, kalau benar-benar ada kebocoran itu berlaku,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebocoran data peribadi daripada Timbalan Pengarah JPN di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada Isnin.

Terdahulu, satu forum perbincangan digital melaporkan bahawa pangkalan data milik JPN disenaraikan untuk dijual dalam pasaran melalui forum pangkalan data yang terkenal.

Menurut forum itu, sebanyak empat juta data peribadi awam yang diperolehi daripada laman web LHDN melalui myIDENTITY ditawarkan untuk dijual. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast