Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mencabul tiga kanak-kanak di sebuah flat di kawasan Sri Damansara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada bapa mangsa mengenai insiden itu pada jam 5 petang semalam.

“Dalam laporan itu, pengadu mendakwa bahawa anaknya telah dicabul oleh seorang lelaki di tangga sebuah flat kawasan Sri Damansara.

“Kejadian tersebut diketahui oleh bapa mangsa (pengadu) melalui satu klip video yang ditunjukkan oleh pengerusi persatuan penduduk flat tersebut.

“Dalam rakaman video berdurasi 19 saat yang sempat dirakam oleh seorang saksi kejadian itu, suspek seorang lelaki warganegara tempatan berumur 53 tahun itu telah memeluk dan mengeselkan kemaluannya beberapa kali ke atas mangsa (anak pengadu) yang baru berusia tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, ujar beliau, suspek yang sudah berkeluarga itu berjaya ditahan oleh saksi kejadian bersama penduduk kawasan flat tersebut dengan bantuan pihak polis.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, suspek bukan penduduk flat berkenaan tetapi mendakwa pergi ke kawasan perumahan itu untuk mencari dan berjumpa dengan rakan lamanya.

“Justeru suspek juga melakukan perbuatan yang menjengkelkan itu ke atas dua lagi rakan mangsa yang masing-masing berusia 11 tahun di lokasi yang sama flat tersebut yang mana kesemua mangsa adalah dua lelaki dan seorang perempuan,” ujarnya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek kini telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 5 Oktober depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atau Akta 792 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette