Pertemuan antara Kerajaan Negeri Johor dan Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.
JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berharap urusan pembukaan sempadan antara Johor dan Singapura dapat disegerakan selepas pertemuan dan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Sabtu lalu.
Mesyuarat dan pertemuan yang turut disertai Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin  Hussein itu turut membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan.
“Sabtu lepas, saya menerima kunjungan  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mendengar taklimat pembangunan negeri dan perjumpaan dengan pemimpin masyarakat.
“Taklimat pembangunan negeri telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim dan Pengarah Pembangunan Negeri Johor,  Rahman Mohd Din.
 “Alhamdulillah, dalam taklimat tersebut, Perdana Menteri bersetuju supaya Kerajaan Negeri Johor dilibatkan secara langsung bukan hanya mengenai pembukaan sempadan, malah dalam pelbagai isu yang melibatkan negara jiran, Singapura.
”Semoga dengan pertemuan ini, urusan pembukaan sempadan antara Johor dan Singapura dapat disegerakan,” katanya menerusi laman Facebook rasmi beliau.
Dalam sidang media ketika lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Johor Bahru,  Hasni berkata, Kerajaan Pusat dilaporkan telah bersetuju untuk melibatkan Johor secara langsung dalam jawatankuasa teknikal membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.- MalaysiaGazette